KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan gagal dalam permohonannya untuk membatalkan dua pertuduhan rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas meneliti notis permohonan Wan Saiful selaku pemohon selain telah mendengar hujah secara lisan daripada kedua-dua belah pihak yang dikemukakan sebelum ini.
“Permohonan pembelaan (Wan Saiful) ditolak,” kata Hakim Rozina. Justeru dengan keputusan hari ini, kes rasuah tersebut akan diteruskan dengan perbicaraan.
Tarikh-tarikh perbicaraan itu selama lapan hari iaitu 25 hingga 27 Mac, 29 dan 30 April dan 20 hingga 22 Mei 2024 dengan 27 saksi pendakwaan yang akan dipanggil memberi keterangan.
Mengikut pertuduhan, Wan Saiful, 47, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn. Bhd. mendapatkan projek “Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur” daripada Kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232 juta.
Wan Saiful juga dituduh menerima bagi dirinya suapan wang tunai berjumlah RM6,962,694 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn. Bhd. daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn. Bhd. sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek itu.
Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini antara 8 Julai 2022 hingga 30 September 2022.
Sebelum ini, Wan Saiful memfailkan notis permohonan membatalkan pertuduhan tersebut menerusi Tetuan Chetan Jethwani & Company pada 29 Mei lalu.
Berdasarkan afidavit sokongan Wan Saiful mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah defektif dan cacat.
Terdahulu dalam hujahan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi selaku responden berkata kedua-dua pertuduhan berkenaan tidak cacat, sebaliknya jelas dan boleh difahami.
Selain itu, Rasyidah Murni berkata permohonan Wan Saiful adalah tidak berasas dan pramatang kerana saksi-saksi pendakwaan masih belum memberi keterangan.
Sementara peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Wan Saiful pula berkata kedua-dua pertuduhan terhadap anak guamnya adalah cacat kerana tidak menyatakan secara khusus tarikh kesalahan dilakukan. – KOSMO! ONLINE