HULU TERENGGANU – Lebih 30 buah rumah penduduk di beberapa perkampungan di Ajil dan Kuala Berang, di sini, mengalami kerosakan akibat dipukul ribut, semalam.
Kejadian ribut antara pukul 5 petang hingga 6 petang tersebut melibatkan sekurang-kurangnya 10 perkampungan di dua mukim berkenaan.
Ia menyebabkan banyak pokok tumbang lalu menghempap rumah dan kenderaan milik penduduk.
Seorang penduduk Omar Safie, 60, berkata, sewaktu ribut berlaku, dia sedang berbual dengan seorang rakan di beranda rumahnya.
“Mulanya awan bertukar gelap sebelum muncul angin kencang berpusar hingga menyebabkan tiga buah motosikal diletakkan di hadapan rumah saya berganjak sejauh beberapa meter.
“Saya bergegas mahu menyelamatkan motosikal sebelum tiba-tiba tiga ahli keluarga yang berada di tumah menjerit ketakutan apabila satu persatu atap rumah diterbangkan ribut,” katanya ketika ditemui di Kampung Durian Kassim, di sini semalam.
Omar berkata, dia yang panik hanya mampu melaungkan azan memohon pertolongan Allah.
Tambahnya, bekalan elektrik di kampungnya juga terputus disebabkan kabel elektrik dihempap pokok tumbang akibat ribut. – KOSMO! ONLINE