KUALA LUMPUR – Peguam dan aktivis sosial Siti Zabedah Kasim atau lebih dikenali sebagai Siti Kasim mendakwa terdapat objek menyerupai bom diletakkan pada keretanya.
Siti Kasim dalam siaran langsung di Facebooknya berkata, dia menyedari objek yang diletakkan di bahagian tayar itu ketika menghantar kenderaannya itu ke pusat servis pada pukul 12 tengah hari tadi.
“Terdapat dua botol mineral yang disangkut di bahagian belakang tayar kereta. Ketika ini kereta masih di bengkel dan tidak dapat berbuat apa-apa.
“Saya sudah menghubungi polis menerusi panggilan 999 dan memberitahu ini adalah ancaman bom,” katanya.
Tambah Siti Kasim, dia menghantar kenderaanya itu untuk diservis kerana akan ke Kelantan bagi menyelesaikan isu Orang Asli di sana.
“Saya diberitahu pemilik bengkel berkenaan dan bertanya apa sudah jadi dengan kereta saya, saya kemudian melihat gambar yang dihantar kepada saya dan sangat terkejut.
“Pihak polis kini sudah hadir dan orang ramai yang berada di pusat servis berkenaan diarahkan keluar,” katanya. – KOSMO! ONLINE.