PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjemput orang ramai menghadiri majlis ilmu yang akan berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya, esok.
Majlis tersebut akan bermula pukul 6 petang hingga 9 malam di Dewan Solat Utama Masjid Putra serta dihadiri dua ulama besar.
“Esok saya akan menghadiri Majlis Perasmian dan Peluncuran Majlis Hadis Sahih Al-Bukhari Peringkat Kebangsaan di Masjid Putra, Putrajaya.
“Majlis ini juga akan dihadiri oleh Mufti Besar India, Al-Allamah Sheikh Abu Bakar Ahmad dan Penasihat Agama Presiden Mesir, Sheikh Dr. Usamah Sayyid Al-Azhari,” kata Anwar di Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berharap majlis tersebut akan memupuk semangat dalam kalangan orang ramai untuk mencintai ilmu.
“Saya ingin menjemput warga Malaysia yang berkelapangan untuk hadiri majlis ilmu ini.
“Semoga majlis ini akan memupuk semangat cintakan ilmu dan menyuburkan budaya mengukuhkan tradisi ilmu Islam di Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE