KUALA LUMPUR – Tidak pernah digosipkan dengan mana-mana artis atau mempunyai teman istimewa, penyanyi Sissy Imann mendedahkan hatinya kini telah dimiliki.
Kata pemilik nama lengkap Sissy Imann Mohammad Kamil itu, jejaka terbabit bukan dalam kalangan selebriti, sebaliknya teman sebaya yang sudah lama dikenali.
“Cukuplah saya katakan kami sebaya dan dia pula jauh daripada dunia hiburan, bukan dalam bidang sama, tetapi memahami.
“Keluarga pun tahu hubungan kami dan bagi lampu hijau. Setakat ini sahaja boleh saya katakan. Nak cakap lebih tak manis pula sebab semuanya masih di peringkat awal.
“Untuk ke fasa serius kami belum sampai ke situ,” katanya kepada Kosmo! Online pada pengumuman penyampai trofi dan artis yang membuat persembahan di Anugerah Bintang Popular (ABP) ke-35, baru-baru ini.
Penyanyi berusia 28 tahun itu bakal bergandingan dengan Mas Idayu atau mesra disapa Mummy sebagai penyampai trofi ABP35 di Istana Budaya, malam ini.
Berkongsi mengenai hubungan dengan juri pertandingan Famili Duo itu, Sissy berkata, mereka sudah lama berbaik selepas insiden dia menangis ditegur penghibur terbabit.
“Ikutkan ABP35 adalah kemunculan kami bersama buat kali pertama, jadi kita tengok bagaimana maklum balas dan komen peminat.
“Hubungan kami baik-baik sahaja sebab selepas program realiti itu saya jumpa Mummy. Apa yang berlalu biarlah berlalu,” ulasnya yang dalam persediaan mengendalikan program travelog 13 episod. – KOSMO! ONLINE