fbpx

Pencemaran bau akibat buangan cecair di loji IWK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LRA Rantau Panjang antara empat LRA yang terpaksa dihenti tugas ekoran insiden pencemaran bau semalam.

SHAH ALAM – Pencemaran bau yang mengakibatkan empat buah Loji Rawatan Air (LRA) dihenti tugas hari ini adalah disebabkan pembuangan cecair pelarut di lubang loji kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Taman Velox, Rawang di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, penemuan tersebut hasil siasatan dilakukan pihak berkuasa di lokasi pencemaran tersebut.

“Insiden pencemaran itu didapati berlaku antara pukul 7 hingga 9 pagi dan dalam tempoh
sebelumnya didapati bacaan air di Sungai Gong dan Sungai Sembah adalah 0 ton.

“Kita mengesyaki wujud sabotaj di sebalik insiden pencemaran tersebut,” katanya pada perbahasan usul dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pihaknya telah membuat laporan polis bagi mencari dalang di sebalik insiden tersebut.

“Kita harap pihak yang bertanggungjawab melakukan perbuatan itu dikenakan tindakan yang sewajarnya

“Setakat ini empat LRA berkenaan masih ditutup dan tindakan susulan sedang dilakukan Lembaga Urus Air Selangor, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan empat buah LRA dihenti tugas berikutan pencemaran bau bahan pelarut yang dikesan di Sungai Selangor hari ini.

LRA itu adalah Sungai Selangor Fasa 1,2,3 dan LRA Rantau Panjang yang dihenti tugas pukul 12.20 hingga 12.45 tengah hari tadi.

Ini merupakan kejadian ketiga berturut-turut berlaku dalam tempoh tiga bulan bermula September lalu yang mengakibatkan henti tugas di LRA sama.

Insiden itu mengakibatkan gangguan air tidak berjadual kepada lebih 1.1 juta pemegang akaun Air Selangor merangkumi 1,279 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI