fbpx

KUOA bantu usahawan Orang Asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGUNJUNG berpeluang melakukan aktiviti menyumpit pada KUOA yang berlangsung di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam bermula hari ini.

BANGI – Bagi melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan Orang Asli, seramai 50 usahawan terlibat dalam Karnival Usahawan Orang Asli (KUOA) yang berlangsung di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam bermula semalam.

Karnival yang dilaksanakan bersempena Program Sentuhan Kasih Desa itu adalah hasil gabungan dua karnival utama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) iaitu Mini KUD dan KUOA yang berlangsung selama tiga hari dan akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Karnival ini dijayakan dengan penglibatan 5 agensi di bawah KKDW iaitu Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), dan FELCRA Berhad selain penglibatan dari Bahagian Pembangunan Usahawan Desa (UD), Pejabat KKDW Negeri Selangor, serta kerjasama daripada Pejabat Belia dan Sukan Daerah Sabak Bernam.

Bagi KUOA, program tahunan ini melibatkan usahawan Orang Asli daripada suku Temiar, Temuan, Semai, Semelai, Kuala dan Mah Meri melibatkan enam buah negeri iaitu Pahang, Perak, Kelantan, Negeri Sembilan, Johor dan Selangor.

Ketua Pengarah Jakoa, Sapiah Mohd. Nor berkata, objektif pelaksanaan karnival tersebut adalah untuk membantu usahawan luar bandar terutama Orang Asli meluaskan pasaran produk dan perkhidmatan masing-masing ke arah peningkatan pendapatan.

Jelasnya, gabungan dua program keusahawanan di bawah KKDW di Sungai Besar itu juga merupakan salah satu platform kepada usahawan Orang Asli bagi memantapkan kemahiran komunikasi dan teknik penjualan, pemasaran bagi memperkukuhkan kekuatan produk serta perkhidmatan yang diusahakan.

Tambah beliau, bagi penganjuran karnival itu, pihaknya telah menerima lebih 100 permohonan untuk membuka reruai.

“Namun , hanya 50 usahawan Orang Asli yang terpilih dari pelbagai kategori (produk herba, kraf tangan, eko pelancongan, makanan, nurseri dan produk kecantikan).

Sapiah berkata, sehingga Disember 2022, terdapat 733 usahawan aktif yang berdaftar dan daripada jumlah itu, Jakoa telah menyalurkan bantuan perniagaan kepada 47 usahawan Orang Asli.

Menurutnya, Jakoa sebagai penggerak kemajuan ekonomi masyarakat Orang Asli turut menyediakan beberapa bentuk bantuan bagi membantu memantapkan usahawan dan koperasi Orang Asli.

“Bagi usahawan Orang Asli, Jakoa menyediakan Program Bantuan Bimbingan Usahawan yang meliputi dua jenis bantuan iaitu pertama pembinaan premis perniagaan termasuk bengkel tidak melebihi RM50,000 dan kedua, pemberian peralatan serta mesin ringan dengan jumlah tidak melebihi RM30,000.

“Bagi koperasi Orang Asli, Jakoa menyediakan Program Bantuan Geran Koperasi Orang Asli dengan maksima jumlah RM500,000 meliputi bantuan premis perniagaan, peralatan, mesin, projek-projek ekonomi seperti pertanian, ekopelancongan, peruncitan serta pengangkutan.

“Bagi memohon bantuan-bantuan ini, usahawan dan koperasi Orang Asli yang berminat boleh berhubung dengan Pejabat Jakoa Daerah masing-masing pada bila-bila masa,”katanya.

MAWARNI menunjukkan hasil kraftangan yang dijual di gerainya sempene Mini Karnivak KUDxKUOA di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam semalam.

Sementara itu, menyentuh mengenai karnival selama tiga hari itu, Sapiah memberitahu beberapa keunikan dan aktiviti yang menanti pengunjung antaranya, mini perkampungan Orang Asli yang menampilkan tiga jenis rumah masyarakat Orang Asli iaitu kaum Mah Meri, Semai dan Temuan serta tarian sewang mengikut tiga kaum terbabit.

“Program ini turut mempersembahkan tarian dari kumpulan “Jooh” yang menampilkan satu tarian topeng yang pasti memikat pengunjung. Kumpulan ini juga telah banyak membuat persembahan di dalam dan luar negara.

“Di samping itu juga, pengukir patung dari kaum Mah Meri juga turut membuat demonstrasi ukiran patung yang menggunakan kayu ‘nyireh batu’.

“Untuk makluman, pengukir ini baru sahaja membuat persembahan ukiran di kota raya London dengan disaksikan sendiri oleh Tuanku Permaisuri Agong,”ujarnya.

Ujar Sapiah, turut diadakan adalah demonstrasi masakan, peragaan pakaian tradisional Orang Asli, aktiviti menganyam selempang/tempok serta permainan tradisional (kercang, menyumpit, teka biji getah, congkak, batu seremban) di sekitar reruai dan mini perkampungan Orang Asli.

“Pengunjung juga berpeluang mendapat herba-herba tradisional yang asli seperti tongkat ali, kacip fatimah dan akar-akar kayu lain selain boleh menikmati kesegaran “running air tongkat ali” apabila berkunjung ke perkampungan budaya Orang Asli.

“Malah pengunjung juga akan dihiburkan oleh kumpulan XPDC, Nabila Razali, Ronnie Hussin dan GB Band,” jelasnya.

Sapiah menambah, beliau berharap agar karnival tersebut dapat mengembangkan lagi produk dan perniagaan Orang Asli bukan sahaja di pasaran dalam negara, malah ke peringkat antarabangsa selepas ini.

NORYA (kiri) bersama parang yang dijualnya.

Jelasnya, ketika ini juga, terdapat beberapa produk Orang Asli telah menembusi pasaran antarabangsa seperti produk ukiran, cenderamata yang telah dipasarkan menerusi platform digital.

Dalam pada itu, bagi seorang usahawan Orang Asli, Norya Abas berkata, penganjuran karnival terbabit telah banyak membantunya memasarkan produk ke pasaran luar.

Norya yang mengusahakan produk besi dan parang memaklumkan, produk yang diusahakan syarikatnya itu kini mula dikenali selepas enam kali menyertai KUOA.

“Tidak sia-sia saya mendaftar di bawah usahawan Jakoa kerana agensi ini telah banyak memberi bantuan termasuk bantuan peralatan dan promosi produk ke pasaran lebih luas.

“Saya harap peluang-peluang seperti karnival ini akan terus diadakan dan ditambah baik dari semasa ke semasa agar lebih ramai usahawan Orang Asli dapat manfaatnya,”ujarnya.

Bagi seorang lagi usahawan, Mawarni Mahat berkata, pada karnival tersebut dia telah membawa beberapa produk kraftangan Orang Asli dari Bera, Pahang.

Jelasnya, sebelum ini kebanyakan hasil kraf tangan itu hanya dijual di sekitar daerah itu sahaja, namun dengan penganjuran karnival tersebut ia telah membuka pasaran kraftangan itu kepada masyarakat luar.

“Terima kasih Jakoa atas penganjuran karnival ini, dapatlah hasil kraftangan ini lebih dikenali sekali gus menjana pendapatan kepada masyarakat Orang Asli di Bera,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI