fbpx

Pengusaha rugi hampir RM100,000, ladang diceroboh gajah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN pokok pisang yang dimusnahkan kawanan gajah liar di Lembah Pertanian Gelanggi, Pulau Tawar di Jerantut.

JERANTUT – Empat pengusaha di Lembah Pertanian Gelanggi, Pulau Tawar di sini kerugian hampir RM100,000 selepas kawasan pertanian komersial diceroboh kawanan gajah liar selama tiga malam berturut-turut.

Dalam kejadian itu, enam ekor gajah menceroboh dengan merosakkan tanaman pisang seluas 1.2 hektar, nanas (1.2 hektar) dan tebu (0.8 hektar).

Pengusaha tanaman nanas dan pisang, Zainul Ismail, 66, berkata, kawanan gajah liar itu menceroboh pukul 2 hingga 4 pagi sehingga memusnahkan 150 batang pokok pisang dan lebih 100 pokok nanas yang baru ditanam.

“Kejadian sama pernah berlaku awal tahun ini. Dua kali kawanan gajah liar menceroboh ke kawasan tanaman nanas yang buahnya mula dipetik sehingga memusnahkan hampir 300 pokok.

“Saya membuat aduan kepada tiga agensi kerajaan serta memohon bantuan dibina parit di sempadan kawasan tanaman dan pagar elektrik, tetapi jawapan diberi adalah tiada peruntukan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Zainul, dia dan pengusaha pertanian lain tidak mampu mengeluarkan perbelanjaan membina parit dan pagar elektrik kerana banyak wang sudah dibelanjakan untuk pengurusan tanaman sejak 2021.

Dia memberitahu sehingga kini lebih RM200,000 dibelanjakan untuk membersihkan kawasan, membeli peralatan pertanian, upah buruh serta pengurusan tanaman.

“Sekiranya kerajaan gagal membina parit di sempadan kawasan tanaman dengan hutan berdekatan bermakna ancaman gajah liar akan berterusan. Kami akan terus merana menanggung kerugian,” katanya.

Seorang lagi pengusaha, Akmal Abdul Hamid, 35, berkata, kawanan gajah liar itu yang bersembunyi di kawasan hutan berdekatan Felda Kota Gelanggi kerap menceroboh di kawasan itu dan kawasan tanaman sawit berdekatan.

“Kami kerap berjaga pada waktu malam, tetapi ancaman tetap berlaku kerana kawasan ini antara lokasi yang mempunyai sumber makanan yang banyak selain berdekatan hutan. Kami harap, kerajaan dapat bantu sekurang-kurangnya dengan membina parit dan pagar elektrik sebagai alternatif,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI