MADRID – Real Madrid mungkin ‘diperbodohkan’ oleh Kylian Mbappe dan Paris Saint-Germain (PSG) sekali lagi susulan potensi perpindahan mega penyerang sensasi itu ke Santiago Bernabeu dalam masa terdekat.
Sebagai rekod, Real yang dikendalikan oleh Carlo Ancelotti telah berbelanja besar pada jendela perpindahan kali ini dengan mendapatkan pemain berkualiti seperti Fran Garcia, Brahim Diaz, Jude Bellingham, Joselu Mato dan Arda Guler.
Namun, skuad The Galacticos masih terdesak untuk mendapatkan khidmat Mbappe kerana dia boleh menjadi pengganti kepada bekas kapten pasukan, Karim Benzema yang berhijrah ke Liga Pro Arab Saudi bulan lalu.
Difahamkan, Presiden Real, Florentino Perez sedang berusaha keras mengumpul dana untuk menandatangani khidmat Mbappe pada jendela perpindahan kali ini atau mendapatkan penyerang berusia 24 tahun itu secara percuma tahun depan.
Bagaimanapun, PSG dan Mbappe dilaporkan mahu berkomplot apabila mereka bakal menawar dan menerima kontrak baharu dalam masa terdekat sekali gus bakal mengecewakan Real buat kali kedua.
PSG menggunakan taktik berkenaan untuk membolehkan Mbappe berhijrah tahun depan dengan meletakkan klausa perpindahan berbanding kehilangan khidmatnya secara percuma apabila kontrak berakhir nanti.
Ini bukanlah kali pertama PSG dan Mbappe melakukan helah yang sama kerana ia pernah berlaku pada tahun lalu selepas Mbappe menandatangani kontrak lanjutan saat akhir meskipun sudah bersetuju secara lisan untuk menyertai Real. – AGENSI