SRI AMAN – Seorang warga emas rentung selepas kereta yang dipandu terbakar 100 peratus selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Nanga San, Jalan Brayun di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superintendan Mathew Manggi berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian oleh Pusat Kawalan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) Sri Aman pada pukul 10.30 pagi semalam.
“Siasatan awal mendapati kenderaan yang terbakar jenis Daihatsu dengan nombor pendaftaran QKF 4336. Mangsa yang terbakar di dalam kenderaan itu dipercayai berbangsa Cina berusia 76 tahun,” katanya.
Setakat ini, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.
Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan pada pukul 10.04 pagi.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Leonard Mallaca di talian 019 7509390.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita tidak benar kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang ramai.
Setelah api berjaya dipadamkan, didapati terdapat seorang mangsa rentung di tempat duduk pemandu. -KOSMO! ONLINE.