IPOH – Seorang lelaki yang didakwa atas dua pertuduhan rogol seorang penjawat awam di Mahkamah Sesyen di sini April lalu, dituduh lagi hari ini bagi tuduhan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.
Tertuduh, Hassan Ahmad, 43, mengaku bersalah ke atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki yang juga buruh binaan itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dengan cara memegang tangan bagi maksud seksual di tepi jalan berdekatan dewan Rumah Pangsa Ashby Road pada pukul 1.30 petang, 13 April 2023.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.
Tiada jaminan ditawarkan Timbalan Pendakwaan Raya, Qurratu’aini Khalifah terhadap tertuduh memandangkan lelaki itu kini menjalani hukuman di Penjara Tapah.
Mahkamah kemudian menetapkan 16 Ogos depan untuk serahan fakta kes dan keputusan hukuman.
Pada 28 April lalu, tertuduh yang juga duda dan mempunyai seorang anak perempuan mengaku bersalah di atas dua pertuduhan merogol dan menceroboh rumah mangsa di sebuah kuarters kerajaan di Fair Park pada 18 April lalu.
Terdahulu, media melaporkan, seorang wanita warga tempatan berusia 38 tahun ditemukan orang awam dalam keadaan trauma dan menangis di tepi Jalan Kamaruddin Isa, Fair Park pada pukul 9.15 pagi.
Wanita yang disyaki mangsa rogol itu juga mengalami luka di kaki dipercayai akibat terjun dari tingkat dua rumahnya ketika menyelamatkan diri.
Susulan penemuan mangsa, tangkapan dilakukan ke atas suspek di rumah wanita terbabit yang membawa kepada rampasan senjata seperti gunting, pisau dan kuku kambing. – KOSMO! ONLINE