SHAH ALAM – Penyampai radio Era FM, Mohamad Danial Mohd. Zaini, 27, menafikan terlibat dalam mana-mana sebarang pelaburan termasuk Asyran Dagang My yang telah mengekplotasikan gambar diri dan kereta miliknya, Ahad lalu.
Mohamad Danial berkata, tindakan individu tidak bertanggungjawab tersebut adalah fitnah semata-mata dalam melakukan penipuan terhadap orang ramai khususnya dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Katanya, perbuatan memuat naik gambar tersebut disedarinya kira-kira pukul 11.56 malam selepas menerima mesej daripada peminatnya di laman sosial Instagram rasminya.
“Individu itu mengiklan, mengedit, meletakkan nombor akaun dan logo bank negara serta sekiranya ingin menjana duit cepat, WhatsApp.
“Saya ingin menegaskan di sini tidak pernah mengikut mana-mana pelaburan sama ada haram atau sah. Ini fitnah,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini hari ini.
Kata Mohamad Danial, dia telah menghantar pesanan secara peribadi kepada pihak pengendali laman Facebook Asyran Dagang My untuk mengeluarkan posting tersebut namun tidak diendahkan.
Ujarnya, perkara tersebut adalah serius kerana melibatkan kredibiliti sebagai salah seorang selebriti di negara ini.
“Mereka (pengendali Asyran Dagang My) macam mencabar saya apabila masih terus menggunakan gambar tersebut dan tindakan mereka tidak ubah seperti scammer.
“Ini bukan benda bergurau, siap letak logo Bank Negara. Kalau hendak buat kelakar atau melawak sekalipun berpada-pada. Ibu saya sendiri terkejut dengan perkara itu,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamad Danial menegaskan kereta tersebut telah dibelinya sebelum PKP lagi menggunakan hasil titik peluh sendiri termasuk bekerja sebagai penyampai radio.
“Saya kongsi gambar kereta yang diterima pada minggu lalu untuk berkongsi kejayaan diri dengan rakan-rakannya. Perkara tidak boleh terima apabila menyatakan (pembelian kereta) itu hasil duit haram dan tipu orang,” katanya. -K! ONLINE