COPENHAGEN, Denmark – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa tindakan mendesak dan segera dilakukan bagi menangani krisis iklim selepas kira-kira 60,000 kematian dicatatkan di Eropah tahun lalu akibat haba ekstrem, lapor agensi berita Xinhua semalam.
“Angka kematian akibat haba ekstrem dijangka meningkat tahun ke tahun.
“Justeru, keperluan mendesak dan segera di peringkat serantau dan global perlu diambil bagi menangani krisis ini dengan berkesan,” kata Pengarah Serantau WHO untuk Eropah, Hans Kluge sambil menambah, zon berbahaya kini adalah termasuk Eropah Selatan dan Timur.
Beliau selain itu turut mengingatkan orang ramai agar kerap memeriksa laporan cuaca, mengikuti garis panduan dan banyak membaca mengenai risiko berkaitan cuaca daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai.
“Selain menyesuaikan diri dengan realiti baharu musim panas, kita perlu melihat dari sudut tahun dan dekad akan datang,” katanya. – AGENSI