fbpx

Bekas pegawai bank antara ditahan kes pelaburan kripto dan judi online

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Ezanee (kiri) menunjukkan wang tunai berjumlah RM1.4 juta serta komputer riba yang dirampas.

PETALING JAYA – Empat individu termasuk satu pasangan suami isteri ditahan terlibat dalam pelaburan matawang kripto haram dan judi online dalam dua serbuan di Ara Damansara dan Sunway semalam.

Serbuan bermula pukul 1.15 tengah hari itu turut membawa kepada penemuan wang tunai RM1.4 juta.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, tangkapan pertama membabit bekas pegawai bank berusia 27 tahun serta suaminya warga asing di sebuah rumah teres di Ara Damansara.

Katanya, hasil serbuan pihak polis mendapati pasangan berkenaan sedang melakukan aktiviti pelaburan matawang kripto yang tidak diluluskan Bank Negara Malaysia menerusi tujuh lap top.

“Pemeriksaan lanjut kita menemui satu peti besi, namun suspek enggan membukanya menyebabkan polis meminta bantuan bomba.

“Kira-kira RM1.4 juta wang tunai ditemui dalam peti besi termasuk serangkai kunci dan kad akses sebuah kondominium di Sunway,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini hari ini.

Menurutnya lagi, berpandukan maklumat daripada suspek polis menyerbu sebuah kondominium pada pukul 7.30 malam di Sunway.

“Seorang lelaki dan perempuan masing-masing berusia 30 tahun yang berperanan sebagai penyelia bagi membina aplikasi judi online dan pelaburan kripto haram.

“Siasatan lanjut mendapati mereka ini aktif sejak tiga bulan lalu dan suspek dibayar gaji RM9,000 setiap seorang,” ujarnya.

Tambah Nik Ezanee, kesemua suspek direman selama empat hari bermula hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI