fbpx

K2

Situasi ini zihar atau tidak?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

Si suami memeriksa keadaan dubur isteri setelah mengadu mengalami buasir. Sewaktu memeriksa keadaan isteri, si suami menyatakan: “Rasanya kakak saya pun mengalami keadaan sama”. Adakah situasi ini zihar atau tidak?

JAWAPAN: Zihar dari segi bahasa adalah az-Zohr (belakang/punggung) kerana gambaran zihar yang asal adalah bila mana seorang lelaki berkata kepada isterinya: “Engkau ke atasku ibarat az-Zohr ummi (belakang/punggung ibuku).

Manakala dari sudut syarak bermaksud: “Suami menyamakan isterinya yang bukan dalam talak bain dengan seseorang wanita yang tidak halal berkahwin dengannya.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, jld. 3, hlm. 352)
Berkenaan hukum melakukan zihar, Allah SWT berfirman: Dan mereka yang menziharkan isteri-isteri mereka dari kalangan kamu bahawanya mereka itu (para isteri) diserupakan sebagai ibu-ibu mereka (dari sudut keharaman). Sesungguhnya ibu-ibu mereka itu tidaklah melainkan yang mengandungkan mereka. Sesungguhnya mereka mengatakan sesuatu yang mungkar dan juga dusta. Sesungguhnya Allah itu Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.[Surah al-Mujaadilah:2]

Merujuk kepada ayat di atas, zihar disifatkan sebagai ucapan yang mungkar lagi dusta. Kedua-duanya itu merupakan suatu bentuk keharaman yang menjadikan zihar dalam maksudnya yang sebenar adalah haram hukumnya. Imam Ibnu Hajar al-Asqalani berkata: “Sesungguhnya telah diistidlalkan (dijadikan dalil untuk mengeluarkan hukum) firman Allah SWT: “Sesungguhnya mereka mengatakan sesuatu yang mungkar dan juga dusta, bahawa zihar adalah haram.” (Lihat Fath al Bari Syarh Sahih al-Bukhari, jld. 10 hlm. 542)

Manakala Syeikh Syamsuddin Ibnu Syihab ad-Din ar-Ramli menyebut: “Ia (zihar) haram, bahkan (termasuk) dosa besar kerana menukar hukum Allah dan menggantikannya (iaitu mengubah status isteri yang halal dinikahi dan disetubuhi kepada status haram melakukannya seperti mana haram mengahwini ibu). Ini perkara yang lebih bahaya daripada kebanyakan dosa-dosa besar kerana melibatkan isu kekufuran, jikalau tidak kerana (pelaku zihar) tidak beriktikad (untuk mengubah hukum Allah SWT, sudah tentu dikira kufur), dan (perlakuan zihar ini) menyerupai perbuatan kufur dan perkara lain, kerana itu Allah SWT mengatakannya sebagai sesuatu yang mungkar dan dusta.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, jld. 7 hlm. 82)

Zihar dianggap talak menurut fahaman jahiliyyah, justeru jika seorang suami melakukan zihar, beliau sebenarnya telah mentalakkan isterinya, maka jika beliau masih mengekalkan pernikahan, namun beliau wajib membayar kaffarah.

Kaffarah zihar adalah seperti berikut:
Pertama: Bebaskan seorang hamba.
Kedua: Sekiranya tidak ada, perlu berpuasa dua bulan secara berturutan.
Ketiga: Sekiranya tidak mampu, perlu beri makan kepada 60 orang miskin.
Ini berdasarkan firman Allah SWT: Dan mereka yang menziharkan isteri-isteri mereka, kemudian ingin menarik semula apa yang telah mereka katakan maka (kaffarah ke atas mereka) dengan memerdekakan seorang hamba sebelum keduanya (suami isteri) itu bercampur. Dan sesiapa yang tidak mendapatinya hendaklah dia berpuasa selama dua bulan berturut-turut, sebelum mereka berdua bersama. Sesiapa yang tidak mampu (untuk berpuasa dalam tempoh itu) hendaklah dia memberi makan kepada 60 orang miskin. Yang demikian itu supaya kamu beriman kepada Allah dan juga RasulNya. Dan itulah hudud (batasan) Allah. Dan buat orang kafir itu azab yang pedih. [Surah al-Mujaadilah: 3-4]

Penting untuk difahami, kaffarah zihar termasuk dalam kategori murattabah iaitu ianya perlu dilakukan mengikut turutan. Perlu memerdekakan hamba terlebih dahulu, jika tidak mampu perlu berpuasa berturut-turut selama 2 bulan, jika tidak mampu, perlu memberi makan. Jika tidak mampu melakukan ketiga-tiganya, tanggungjawab ini (melakukan kaffarah) kekal bersama-samanya sehinggalah ia menyelesaikannya.

Lafaz kaffarah sebagaimana lafaz dalam permasalahan fiqh yang lain terbahagi kepada dua, lafaz sorih dan lafaz kinayah. Lafaz sorih adalah lafaz yang tidak membawa maksud selain daripada satu maksud yang difahami secara jelas dan serta merta setelah mendengar lafaz yang diungkapkan tersebut. Lafaz kinayah pula adalah lafaz yang boleh difahami lebih daripada satu maksud. Lafaz sorih akan terus mendatangkan implikasi manakala lafaz kinayah pula bergantung kepada niat pengungkap lafaz tersebut bagi mengetahui maksud yang mana beliau kehendaki.

Di sini kami sertakan beberapa contoh lafaz yang dikategorikan sebagai lafaz sorih:

1) Menyamakan punggung isteri dengan punggung ibu.

Dalam konteks zihar, lafaz sorih adalah apabila si suami menyamakan punggung isterinya dengan punggung ibunya atau mahramnya yang lain. Lafaz asal zihar adalah dengan menyebut: “Engkau ke atasku seperti punggung ibuku.” Namun tidak ada bezanya jika beliau menggunakan penyambung kata yang pelbagai seperti: engkau bagiku, engkau bersama-samaku, di sisiku, daripadaku, untukku dan lain-lain. Begitu juga dianggap lafaz sorih zihar jika beliau tidak menyebut penyambung kata seperti berkata:” Engkau seperti punggung ibuku.”

2) Menyamakan tubuh isteri dengan punggung ibu.

Begitu juga jika beliau menyebut: “kecantikanmu atau dirimu, atau zat-mu, atau jisimmu, atau badanmu ke atasku seperti punggung ibuku.” Ataupun berkata: “Engkau ke atasku seperti badan ibuku, atau jisim ibuku atau zat ibuku maka kesemua contoh lafaz ini dan yang sepertinya dianggap lafaz sorih zihar.

3) Menyamakan isteri dengan sebahagian anggota tubuh ibu.

Terdapat perincian mengenai lafaz kategori ini:

  1. Jika anggota yang disamakan bukanlah anggota yang biasa disebut jika ingin memuliakan atau memuji, seperti tangan, kaki, dada, perut, kemaluan dan rambut, maka pandangan al-Azhar (pandangan Imam as-Syafie yang paling kuat) adalah ianya dikira lafaz sorih zihar.
  2. Sekiranya anggota yang disamakan merupakan anggota yang biasanya disebut untuk memuliakan atau memuji, seperti mata, wajah, ruh, maka ianya kinayah, jika niatnya untuk memuliakan, maka ia bukanlah zihar, namun jika niatnya melakukan zihar, maka ia adalah zihar.

4) Menyamakan sebahagian anggota isteri dengan ibu

Contoh: “kepalamu, atau tanganmu, atau punggungmu, atau kemaluanmu, atau kulitmu, atau rambutmu, atau sebahagian darimu, atau satu perempat darimu ke atasku seperti punggung ibuku, maka ianya merupakan lafaz sorih.

Semua lafaz ini terpakai juga kepada mahramnya yang lain selain ibu.

Contoh Lafaz Kinayah:

Selain daripada contoh yang telah disebut, antara contoh lafaz kinayah adalah seperti: “bagiku engkau seperti ibu dan adik-beradik perempuanku” atau, “padaku engkau seumpama emak dan adik perempuanku.” Begitu juga lafaz lain yang bukan merupakan lafaz sorih yang dijelaskan, maka termasuk kategori lafaz kinayah dan perlu melihat kepada niat pelafaz sama ada berniat untuk zihar atau tidak. (Lihat Raudhah at-Tholibin, jld. 6 hlm. 237-240 dan Mausuah al-Fiqh al-Islami wa al-Qodhoya al-Mu’asoroh, jld. 8 hlm. 567-568)

Kesimpulannya, kami berpandangan bahawa lafaz: “Rasanya kakak saya pun mengalami keadaan yang sama,” bukanlah dianggap sebagai lafaz zihar, sama ada lafaz sorih atau kinayah.
Ini kerana, zihar adalah menyamakan (tubuh atau anggota tubuh) isteri dengan (tubuh atau anggota tubuh) mahram, sedangkan lafaz diungkapkan itu adalah menyatakan bahawa mahram (kakak) mengalami keadaan yang sama dengan isteri. Ianya adalah seperti mengatakan kepada isteri yang berjerawat: “kakak saya pun mengalaminya.”

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN