LONDON – Seorang lelaki di Britain yang menembak mati isterinya minggu lalu didakwa bertindak demikian kerana mangsa mahu berpisah untuk bersama teman lelakinya, lapor akhbar Metro UK.
Robert Jobson, 84, didakwa menembak mati Rose Jobson, 69, sebelum membunuh diri di sebuah sekolah menembak yang diusahakan pasangan itu di North Lincolnshire, England, Jumaat lalu.
Polis Humberside yang melancarkan siasatan berkaitan kes itu berkata, pihaknya tidak menyoal siasat suspek lain berhubung kematian pasangan tersebut.
Hal ini kerana Rose didakwa telah ‘berpisah’ dengan Robert selepas dia jatuh cinta dengan lelaki lain.
Jiran mereka, Andrew Farrow berkata: “Pasangan itu telah berpisah dan sekolah mereka ditutup buat sementara waktu atas sebab peribadi. Kami tahu dia (Robert) cemburu. Kami anggap dia telah menembak isterinya sebelum membunuh diri sendiri.”
Seorang lagi penduduk, yang enggan namanya disiarkan, menambah: “Rose mempunyai teman lelaki baharu dan Robert marah apabila dia mendapat tahu. Dia tidak sanggup kehilangan isteri tersayang kepada lelaki lain.”- Agensi