SEBERANG PERAI – Seorang tukang cat merayu kepada orang ramai untuk membantunya menampung kos perubatan anak perempuannya mencecah RM145,000 bagi mengubati penyakit gangguan otot dan saraf yang dihidapi kanak-kanak itu.
Yu Kong Chai, 41, berkata, anaknya, Yu Jia Xuan, 5, hanya mampu berbaring atau sesekali berkerusi roda selepas disahkan menghidap atrofi otot spina (SMA) sejak empat tahun lalu.
Katanya, doktor pernah memberitahu yang anaknya tidak akan hidup untuk tempoh yang lama kerana penyakit yang diwarisi secara genetik itu membataskan pergerakannya selain sukar dirawat.
“Bagaimanapun, jangkaan itu kurang tepat apabila anak saya yang dilahirkan di Sarawak masih dapat bertahan sehingga ke hari ini.
“Anak saya diklasifikasikan sebagai tidak layak untuk menerima percubaan klinikal untuk ubat SMA selepas berhijrah ke Kuala Lumpur tahun lalu. Namun, kini kami mendapat peluang kedua apabila keadaannya kini dikatakan sesuai untuk menerima suntikan genetik spinraza,” katanya.
Menurut Kong Chai, apa yang membuatkan dia buntu ialah kos untuk rawatan itu mencecah RM145,000 sedangkan dia hanya bekerja sebagai tukang cat, manakala isterinya, Voon Jian Jian, 36, tidak bekerja.
Tambahnya, kos rawatan meliputi sembilan kali suntikan spinraza yang akan dilakukan secara berkala dalam tempoh dua tahun.
“Oleh sebab itu, saya berjumpa dengan pertubuhan kebajikan, One Hope Charity & Welfare untuk mendapatkan bantuan bagi mengumpul dana berkenaan daripada orang awam,” katanya.
Sementara itu, pengerusinya, Datuk Chua Sui Hau, Jia Xuan berkata, Jia Xuan akan menerima suntikan di Hospital Thomson, Kuala Lumpur yang mempunyai kelulusan daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat untuk menggunakan spinraza.
“Selain itu, hospital ini dipilih kerana ia juga telah menawarkan potongan harga untuk pakej rawatan untuk pertubuhan kami,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkannnya ke akaun Public Bank One Hope Charity & Welfare di nombor 3193433435 atau hubungi 016-419 2192, 019-232 2192 dan 04-539 9212 untuk maklumat lanjut.