PORT DICKSON – Pemimpin parti politik baik dari pihak kerajaan mahupun pembangkang dinasihatkan untuk berhati-hati dalam mengeluarkan ucapan atau ceramah serta mengelak dari menyentuh berkaitan isu 3R (agama, bangsa, institusi diraja).
Anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tindakan berhati-hati tersebut perlu difahami memandangkan terdapat perkara yang tidak boleh ‘disentuh’ sesuka hati baik ketika hampir pilihan raya, pembubaran atau pada bila-bila masa terutamanya melibatkan kedudukan Raja-raja.
Malah menurut beliau, diharap apa yang berlaku ke atas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor itu dapat memberi pengajaran kepada semua pihak dan tindakan serupa juga boleh dikenakan kepada mana-mana individu kerana undang-undang itu tidak mengira sama ada parti politik kerajaan mahupun pembangkang.
“Ia (tindakan ke atas Sanusi) bukan disebabkan beliau menteri besar negeri pembangkang tetapi kerana kesilapan diri sendiri. Kalau kita lihat menteri besar pembangkang lain pun berucap hari-hari tapi mereka berhati-hati,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Bilik Gerakan Barisan Nasional UMNO Cawangan Seri Kemang, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu Muhammad Sanusi ditahan pada pukul 3 pagi di sebuah hotel di Mont Kiara, Dutamas, di sini, semalam oleh sepasukan polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) dan Bahagian Gengsterism (D7), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.
Dalam pada itu, Ahmad turut menyatakan sekiranya pemimpin pembangkang ingin mengkritik, elaklah menyentuh isu 3R, namun beliau bersedia untuk dikritik berdasarkan dasar yang telah dibuat Kerajaan Perpaduan.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ahmad turut mengesahkan ada menerima jemputan pada 21 Julai ini di PWTC berkenaan pengumuman nama calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada pukul 9 malam. – KOSMO! ONLINE