MIAMI – Pemilik bersama Inter Miami, Jorge Mas mengalu-alukan kehadiran Luis Suarez sekiranya bekas penyerang Barcelona itu mendapat ‘lampu hijau’ untuk menyertai pasukannya dalam jendela perpindahan ketika ini.
Difahamkan, Suarez, 36, mahu membuat reunion bersama bekas gandingannya di Barcelona, Lionel Messi yang akan turun membuat debut bersama Inter Miami menentang Cruz Azul pada pusingan pertama Piala Liga-Liga awal pagi Sabtu ini.
Bagaimanapun, ia tidak mudah kerana kelabnya di Brazil, Gremio dikatakan enggan membenarkan perpindahan penyerang itu.
“Suarez masih pemain Gremio dan dia mempunyai kontrak dengan pasukan itu. Kami amat memahmi hubungan akrabnya dengan (Lionel) Messi, (Sergio) Busquets dan (Jordi) Alba.
“Mereka pernah bermain bersama di Barcelona. Namun, kami masih belum mengadakan rundingan dengan Gremio ataupun Suarez walaupun banyak khabar angin bertiup ketika ini.
“Saya tidak tahu bagaimana Suarez mahu meninggalkan Gremio tetapi jika boleh, kami mengalu-alukan kedatangannya ke Inter Miami,” kata Mas.
Inter Miami ketika ini hanya menanti masa untuk mengumumkan kehadiran Jordi Alba dan bakal menjadi bekas pemain Barcelona yang ketiga menyertai kelab itu selepas Messi dan Busquets.
Sebagai rekod, kehadiran Messi, Busquets dan Alba dijangka membolehkan skuad bimbingan Gerardo Martino itu mencabar kejuaraan Liga Bola Sepak Major Amerika Syarikat (MLS) musim ini. – AGENSI