fbpx

KPS Caregiver khusus jaga warga tua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Populasi yang semakin menua di Malaysia bakal memberi cabaran besar bagi sistem penjagaan kesihatan. – Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Berhad) telah mengambil inisiatif dengan memperkenalkan KPS Caregiver pada tahun 2019 sebagai usaha untuk memenuhi permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan di negara ini.

KPS Caregiver menyediakan latihan komprehensif dalam bidang penjagaan asas orang tua, penjagaan diri, pengurusan ubat-ubatan, pemakanan dan penjagaan demensia.

Ia merupakan salah satu inisiatif keusahawanan sosial oleh KPS Berhad dengan kerjasama Cality Care Malaysia dan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ MAIWP).

Pengarah Jabatan Perhubungan Pelabur, Kelestarian dan Komunikasi KPS Berhad, Zul Mawardi berkata, sehingga kini syarikat memiliki seramai 150 penjaga yang berkelayakan khusus dalam penjagaan warga tua yang telah berjaya dilatih.

Jelasnya, kira-kira 75 peratus peserta yang telah menjalani latihan KPS Caregiver berjaya memperoleh pendapatan di antara RM1,500 hingga RM3,000 sebulan.

“Pencapaian ini amat memberangsangkan dan jelas menunjukan bahawa program latihan ini mampu meningkatkan status sosial dan ekonomi kumpulan sasaran selain membantu meningkatkan jumlah penjaga berkelayakan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.

Tambah Zul, inisiatif itu juga merupakan satu skim perintis yang mewujudkan peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan asnaf untuk memperolehi pekerjaan serta peluang perniagaan dalam industri penjagaan warga tua di Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Cality Care Malaysia, Hizlan Hasanuddin berkata, dalam usaha meningkatkan pengiktirafan graduan program latihan KPS Caregiver, bermula tahun ini, seramai 25 peserta terpilih bakal menduduki peperiksaan khas untuk mendapatkan Sijil Kemahiran Tahap 3 (SKM3) oleh Jabatan Kemahiran Sumber Manusia Malaysia.

Katanya, pensijilan SKM3 itu diiktiraf oleh industri secara meluas khususnya di Malaysia.

“Dengan memperoleh SKM3, kebolehpasaran dan peluang pekerjaan dalam industri bagi graduan KPS Caregiver mampu dipertingkatkan,” ujarnya.

Berdasarkan Jabatan Statistik Malaysia, peratusan penduduk negara yang berumur 60 tahun ke atas telah meningkat daripada 5.2 peratus pada tahun 1970 kepada 6.8 peratus pada tahun 2020.

Trend ini dijangka berterusan, dengan peratusan penduduk yang lebih tua dijangka mencapai 14.5 peratus menjelang tahun 2040.

Seiring peningkatan usia penduduk negara, permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan juga dijangka meningkat.

Selain itu, pada tahun 2020, Kementerian Kesihatan (KKM) menganggarkan bahawa kira-kira 30 peratus daripada kos penjagaan kesihatan keseluruhan disalurkan kepada penduduk yang lebih tua.

Angka ini dijangka meningkat pada tahun-tahun akan datang, kerana penduduk yang lebih tua, lebih cenderung menderita penyakit kronik dan memerlukan intervensi penjagaan kesihatan yang lebih kompleks.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI