fbpx

Warga emas maut ketika elak lopak air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang Fathil rosak teruk sebelum dirempuh sebuah motosikal di Jalan Perol-Peringat semalam.

KOTA BHARU – Seorang warga emas maut ketika motosikal yang ditunggangnya mengelak lopak air sebelum dirempuh dari belakang oleh sebuah motosikal lain di Jalan Perol – Peringat dekat Kampung Padang Mangkali di sini malam tadi.

Kejadian pada pukul 9 malam itu mengorbankan, mangsa, Fathil Mohamed, 63, di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal jenis Honda EX5 sedang dalam perjalanan dari arah Peringat menghala ke Perol.

Katanya, sewaktu tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai mengelak lopak air yang berada di tengah jalan.

“Pada masa sama, sebuah motosikal jenis Yamaha Ego yang ditunggang lelaki berusia 42 tahun berada di belakang motosikal mangsa tidak sempat mengelak tindakan warga emas itu.

“Insiden tersebut menyebabkan motosikal berkenaan merempuh motosikal mangsa dari belakang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Menurut Mohd. Zamri, mangsa kemudian terjatuh dan mengalami pendarahan pada bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, penunggang motosikal Yamaha Ego itu pula mengalami kecederaan pada bahagian tangan dan kaki sebelum dibawa oleh ambulans ke Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) untuk rawatan lanjut.

Tambah Mohd. Zamri, mayat mangsa juga dibawa ke hospital sama untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI