PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, B. Sathianathan, yang telah meninggal dunia semalam.
Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian mendiang dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mendiang sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
“Seri Paduka Baginda berdua menghargai jasa, khidmat dan bakti mendiang kepada negara dan menyifatkan pemergian mendiang sebagi satu kehilangan besar kepada sukan bola sepak tanah air,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, mendiang merupakan ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan dari tahun 2007 hingga 2009.
Sebelum itu, mendiang telah membimbing skuad Bawah 23 negara dari 2006-2008 dengan kejayaan menjuarai Pesta Bola Merdeka pada 2007 dan menjadi naib juara pada tahun 2008.
Selain itu, mendiang juga pernah membawa pasukan Kelantan menjulang Piala Malaysia pada tahun 2010 selain membimbing ATM dan Felda United menjuarai Liga Perdana, masing-masing pada tahun 2012 dan 2018.
Mendiang juga yang merupakan bekas pemain Negeri Sembilan pernah menjadi jurulatih pasukan Selangor dan Sarawak United.
Mendiang juga pernah dinobatkan sebagai jurulatih terbaik dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2017 (ABK2017). – KOSMO! ONLINE