fbpx

Teroka keunikan bumi Genghis Khan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TUGU Genghis Khan paling besar dan tinggi di dunia ini terletak di Tsonjin Boldog.

MONGOLIA tidak ramai dikunjungi seperti negara-negara lain di Asia Timur seperti China, Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong dan Macau.

Perjalanan penulis bermula dengan melakukan penerbangan dari Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Incheon, Korea Selatan sebelum tiba di Chinggis Khaan Airport, Ulaanbaatar, Mongolia.

Perjalanan di negara Genghis Khan ini sangat mencabar kerana kebanyakan tempat tidak memiliki kenderaan awam, jalan raya di sini tidak berturap (kawasan luar bandar terutamanya) dan tidak dapat dijumpai melalui Google Maps.

Oleh itu, penulis membuat keputusan untuk mengikut pakej pelancongan bagi memudahkan urusan sepanjang berada di sini.

Lokasi pertama penulis adalah di ibu kota Mongolia iaitu Ulaanbaatar.

Kemegahan negara tersebut terserlah menerusi kehadiran patung Genghis Khan yang duduk bertentangan Sukhbaatar Square.

Penulis juga melawat tugu Genghis Khan paling tinggi dan besar di dunia yang terletak di Tsonjin Boldog iaitu sejauh 54 kilometer dari Ulaanbaatar.

Di bandar ini juga terdapat pasar awam Mongolia iaitu Naran Tuul Market yang menjual pelbagai produk kulit serta makanan tempatan.

Pada hari seterusnya, penulis mengambil kesempatan untuk merasai kehidupan orang nomad Mongolia di Mongol Nomadic Tourist Camp.

Di situ, penulis mempelajari tentang cara mereka memburu, melayan tetamu, mengembala kambing, buat alatan harian, menaiki kenderaan harian serta menonton persembahan nyanyian.

PENULIS mengambil kesempatan bergambar dengan burung helang.

Penulis juga tidak melepaskan peluang untuk merasai pengalaman menaiki unta, bison dan kuda sambil memakai pakaian orang Mongolia zaman dahulu kala.

Selain itu, penulis melawat ke kawasan Kharakhorum iaitu pusat pemerintahan empayar Mongol ketika zaman kemuncak bangsa tersebut antara tahun 1235 dan 1260.

Karakorum berkhidmat sebagai pusat empayar tersebut selama 40 tahun sebelum Kublai Khan memindahkan pusat itu ke kawasan yang kini dikenali sebagai Beijing (China).

Kemudian, penulis bergerak ke luar bandar. Kebanyakan pilihan untuk penginapan yang disediakan adalah berkonsepkan khemah tradisional atau yurt Mongolia.

Dalam khemah penginapan tersebut, mereka menggunakan kayu api untuk memanaskan bilik berkenaan. Bukan guna elektrik untuk memanaskan suhu bilik.

Namun jangan risau, lampu dan soket untuk elektrik disediakan sekali dalam khemah tersebut.

Penulis tinggal di Hoyor Zagal Ger Camp, kawasan gurun bukit dengan pemandangan seperti filem Cowboy disajikan kepada para pengunjung.

Untuk sampai ke sini memerlukan tiga jam perjalanan dari bandar Ulaanbaatar.

Uniknya, tempat ini kalau cari dekat Google Map memang tidak jumpa.

Jalannya agak mengelirukan serta tidak berturap kerana terletak di kawasan gurun yang terbentang luas.

Namun, pemandangan di sini sangat unik dan lain dari lain. Kalau sampai di sini, jangan lepaskan peluang menikmati suasana matahari terbenam dan terbit.

Untuk makluman, kawasan padang pasir paling hampir dengan Ulaanbaatar adalah di Mini Gobi yang terletak lebih kurang hampir tiga jam perjalanan menggunakan jalan raya.

Di sini, pelawat boleh melihat sendiri kawasan padang pasir yang unik sambil naik unta.

Nasihat penulis kepada para pengembara di luar sana, teroka dan jelajahilah Mongolia jika inginkan kelainan apabila berada di Asia Timur.

Tidak perlu visa dan hanya sediakan pasport untuk memasuki negara yang sinonim dengan insan bergelar Genghis Khan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI