KUALA TERENGGANU – Pendakwah bebas, Wan Junaidi Wan Jaafar, 54 dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Dakwah Maal Hijrah Terengganu hari ini.
Beliau yang memulakan karier sebagai penceramah sejak tahun 2005 merupakan tenaga pengajar kitab Turath bertauliah daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
Bapa kepada sembilan anak itu berkata, pengiktirafan diberi oleh kerajaan negeri Terengganu tersebut meningkatkan motivasinya untuk terus menyampaikan ilmu kepada masyarakat.
“Buat masa ini, saya bersiaran dua kali seminggu di radio Terengganu FM dan sekali seminggu di Manis FM untuk membicarakan ilmu Tauhid, Fiqah dan Tasawwuf.
“Saya juga memanfaatkan penggunaan media sosial dengan menyiarkan ceramah di masjid-masjid secara langsung di Facebook agar lebih ramai dapat mengikutinya di seluruh negara,” katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah tersebut hari ini. – KOSMO! ONLINE