fbpx

PRN: UMNO sokong Ramasamy kekal tanding DUN Perai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammad Iqbal (dua dari kanan) ketika sidang akhbar bagi menyatakan sokongan terhadap Ramasamy di Perai, Pulau Pinang hari ini. Foto oleh IQBAL HAMDAN/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Sokongan terhadap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy untuk kekal bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Ogos ini semakin meningkat selepas ‘khabar angin’ mengatakan beliau akan digugurkan pencalonan.

Terbaharu, UMNO cawangan Perai menyatakan pendirian tidak berbelah bahagi terhadap Ramasamy untuk terus menerajui kerusi berkenaan.

Pengerusinya, Mohammad Iqbal Kader Gani berkata, selain UMNO Perai, dua lagi parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) iaitu MIC dan MCA cawangan yang sama juga menyokong penuh pencalonan semula Ramasamy.

“Selama 15 tahun di Perai (sebagai ADUN), beliau (Ramasamy) banyak membantu menyelesaikan isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat khususnya Melayu di kawasan ini.

“Beliau (Ramasamy) juga pernah berjanji sekiranya terus diberikan mandat (sebagai wakil rakyat), beliau akan menyelesaikan sepenuhnya isu-isu yang masih belum selesai di sini (Perai),” katanya dalam satu sidang akhbar di sini.

Semalam, kira-kira 30 persatuan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) keagamaan dan keusahawanan turut menyatakan sokongan terhadap bekas Ahli Parlimen Batu Kawan itu selepas terdapat desas-desus mengatakan beliau tidak akan dicalonkan lagi oleh DAP bagi penggal keempat.

Wakil mereka, Tan Boon Siew berkata, tidak ada keperluan untuk menukar wakil rakyat baharu ketika keadaan politik negara masih belum stabil sepenuhnya selain terlalu banyak jasa Ramasamy untuk warga Perai ketika ini.

Sementara itu, Mohammad Iqbal memberitahu, UMNO cawangan Perai yang kini memiliki lebih 400 ahli juga menentang sekeras-kerasnya penamaan calon baharu untuk DUN itu bagi mewakili Pakatan Harapan (PH) yang kini bergabung dengan BN.

Katanya, banyak lagi pembangunan serta projek kemasyarakatan di Perai yang masih memerlukan ‘sentuhan’ Ramasamy dan mereka juga tidak mahu segala projek yang dirancang sebelum ini terbantut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI