fbpx

Penyeludup lari tinggal kereta bawa diesel di pondok pengawal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kereta yang membawa tong jerikin berisi diesel dipandu suspek ditinggal di pondok pengawal HRPZ II, Kota Bharu, Kelantan semalam. FOTO IHSAN KPDN

KOTA BHARU – Seorang penyeludup lari meninggalkan kereta dipandunya yang membawa muatan sebanyak 600 liter diesel bernilai RM1,337 selepas terhalang palang tertutup di pondok pengawal dekat Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, suspek dilihat memandu kereta jenis Proton Iswara dalam keadaan mencurigakan di sekitar laluan Pengkalan Chepa – Kota Bharu di sini kira-kira pukul 5 pagi.

Menurutnya, siasatan mendapati, pemandu kereta tersebut membuat pembelian diesel secara berulang di beberapa buah stesen minyak.

“Anggota penguat kuasa KPDN kemudiannya mengekori kereta suspek sejauh lima kilometer sebelum tiba di kawasan palang tertutup di pondok pengawal di HRPZ II. Suspek kemudiannya melarikan diri meninggalkan kereta terbabit di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Azman memberitahu, pemeriksaan di dalam kereta itu kemudiannya menemui tong-tong jerikin mengandungi 600 liter diesel.

Menurutnya, bekalan diesel itu dipercayai akan diseludup ke negara jiran dan usaha untuk mengesan pemandu kereta terbabit sedang giat dijalankan, manakala kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI