PETALING JAYA – Baru sebulan bercerai dengan bekas suami Syamsul Yusof, pelakon jelita, Puteri Sarah enggan terlalu beriya-iya mencari pengganti bekas suaminya itu kerana masih dalam tempoh edah.
Sarah atau nama sebenarnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin berkata, dakwaan mengatakan dirinya sedia berkahwin dengan mereka yang tergolong sebagai orang industri hanyalah sekadar menjawab soalan peminat dalam siaran langsung (live) TikTok.
“Saya masih dalam edah, baru sebulan. Tak manis kalau saya bercakap banyak tentang nak cari pengganti (Syamsul).
“Yang diperkatakan dalam media sosial saya hanya menjawab soalan daripada peminat. Siapa kita menidakkan takdir, betul? Orang industri ke atau siapa-siapa, tunggulah jodoh saya sendiri sampai nanti.
“Bab jodoh ini, saya tak mampu dan mempunyai kudrat menduganya. Apa yang penting kalau masih lagi berjodoh untuk bersuami, saya mahukan seseorang faham dan boleh terima saya seadanya serta anak-anak,” katanya kepada Kosmo! Online.
Baru-baru ini, timbul persoalan dalam kalangan peminat apabila Sarah, 38, memaklumkan dia tidak menolak andai bertemu jodoh dengan orang industri.
Sementara itu, Sarah berkata, dia mendoakan yang baik-baik buat bekas suaminya Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd. Syamsul Mohd Yusof dalam mendepani kehidupan berumahtangga dengan isteri, Ira Kazar.
“Doa saya yang baik-baik buat semua termasuk bekas suami, Syamsul.
“Saya kekal menjaga hubungan baik dengan Syamsul termasuk mentua, Datuk Yusof Haslam dan isteri, Patimah Ismail. Saya masih menziarahi mentua saya seperti biasa sampai sekarang.
“Demi anak-anak tersayang. Mereka perlukan bapa dan datuk serta nenek mereka untuk membesar seperti kanak-kanak lain,” katanya.
Terdahulu, Syamsul dan Puteri Sarah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 6, dan Summayah, 4.
Syamsul Yusof, 39, dan Puteri Sarah Liyana sah bercerai talak satu pada 13 Jun lalu. Pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan melafazkan cerai talak satu kepada Puteri Sarah di hadapan Hakim Syarie Akmalluddin Ilyas. – KOSMO! ONLINE