fbpx

ADUN Ketari langgar SOP, polis belum terima laporan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar tular Young Syefura berkelah di Bagan Lalang, Sepang baru-baru ini yang mencetuskan kemarahan netizen.

SEPANG –  Polis mengalu-alukan laporan dibuat daripada orang awam atau mana-mana pihak susulan penyebaran gambar perkelahan  Ahli Dewan Undangan (ADUN) DAP Ketari, Young Syefura Othman yang didakwa tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, bagaimanapun  setakat  ini  polis  tidak  menerima  sebarang  laporan  berhubung  perkara  itu.

Beliau berkata, perkara itu terjadi disebabkan gambar berkenaan tular.

“Kita sudah mengenal pasti suspek, namun polis masih menunggu laporan dibuat oleh mana-mana pihak dan  selepas  itu  barulah  siasatan  boleh  diadakan,”katanya kepada Kosmo! hari ini.

Terdahulu, Young Syefura menyiarkan foto di Instagram memaparkan dirinya dan empat yang lain berkelah di sebuah pantai di Avani Sepang Goldcoast Resort, Bagan Lalang, Sepang.

Beliau kemudian dilaporkan memohon maaf setelah netizen menuduhnya melanggar prosedur operasi standard SOP PKPB yang berkuat kuasa di Selangor.

Gambar tersebut kemudian telah dipadamkan setelah tular di media sosial dan sebilangan netizen mendesak Young Syefura yang turut dikenali sebagai Rara untuk meletak jawatan sebagai wakil rakyat.

Beliau menjelaskan, walaupun dirinya berkhidmat sebagai ADUN di Pahang tetapi dia bermastautin di Selangor serta memohon maaf di atas tindakannya.

“Saya rela disiasat oleh pihak berkuasa jika tindakan saya melanggar sebarang SOP Covid-19,” katanya di Twitter semalam.

Di bawah PKPB di Selangor, perjalanan antara negeri dan daerah dilarang kecuali untuk tujuan kerja dan kecemasan.

Aktiviti berkelah juga dilarang berdasarkan peraturan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Nasional, bersama dengan aktiviti pelancongan membabitkan perjalanan masuk dan keluar dari kawasan PKPB. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI