KOTA BHARU – Tiga beradik lelaki dicekup selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan samun berkumpulan dengan menggunakan senjata kapak dan pisau di tiga buah kedai telefon di sekitar daerah ini sejak minggu lalu.
Ketiga-tiga suspek yang berusia dalam lingkungan 19 hingga 36 tahun itu ditahan semasa mereka berada di Kampung Sri Kulim, Melor di sini kira-kira pukul 8.15 malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima tiga laporan berhubung kejadian samun kedai telefon yang berlaku di daerah ini bermula Sabtu lalu hingga kelmarin.
Menurutnya, modus operandi ketiga-tiga kejadian itu adalah sama iaitu suspek masuk ke dalam premis dengan bersenjatakan sebilah kapak dan pisau lalu mengacukan ke arah pekerja kedai sebelum mengambil wang tunai dan telefon bimbit.
“Bertindak atas maklumat dan risikan, polis berjaya menangkap dua beradik di tepi Jalan Kampung Sri Kulim, Melor di sini kelmarin.
“Hasil soal siasat ke atas kedua-dua suspek kemudiannya telah membawa kepada penangkapan terhadap seorang lagi adik-beradik mereka di depan sebuah kedai telefon di Melor di sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Rosdi memberitahu, polis turut merampas sebilah kapak, telefon bimbit dan topi keledar bersama-sama suspek.
Menurutnya, siasatan mendapati, dua daripada suspek mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah dan dadah.
“Dua daripada tiga beradik itu juga didapati positif dadah. Polis berjaya menyelesaikan tiga kes samun berkumpulan di sekitar kawasan Kota Bharu dengan tertangkapnya ketiga-tiga suspek,” ujarnya.
Mohd. Rosdi berkata, ketiga-tiga beradik itu ditahan reman selama lima hari bermula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE