BATU PAHAT – Tiga termasuk seorang wanita ditemui lemas di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dalam kejadian di kawasan hentian rehat Yong Peng arah selatan Lebuh Raya Utara-Selatan, malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.59 malam itu, mangsa yang ditemui tidak bernyawa terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 23 hingga 27 tahun.
Difahamkan, ketiga-tiga mangsa dipercayai meninggal dunia akibat terhidu gas karbon monoksida ketika berehat di hentian berkenaan.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Pegawai Kanan Bomba II PUB Suhairulair Sarip berkata, seramai enam anggota dan sebuah jentera diatur gerak ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan kecemasan.
“Sejurus Pasukan Keluar Operasi (PKO) tiba di tempat kejadian didapati benar terdapat tiga mangsa terperangkap di dalam kenderaan jenis Perodua Alza dan ketiga-tiga mangsa telah dikeluarkan orang awam yang memecahkan cermin tingkap kenderaan setelah menyedari kejadian itu sebelum PKO tiba,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Suhairulair berkata, mangsa yang tidak sedarkan diri itu disahkan meninggal dunia sebelum diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan lanjut.
Ujarnya, operasi ditamatkan pada pukul 10.22 malam dan pasukan PKO bergerak pulang ke balai. – KOSMO! ONLINE