PETALING JAYA – Pasukan Penyelidik dari Utility Bidder menyenaraikan Malaysia di kedudukan keempat negara paling mampu milik untuk didiami di dunia dengan memperolehi skor 6.85 mata.
Kajian dijalankan oleh pasukan penyelidik berkenaan membabitkan beberapa isu antaranya kos elektrik dan gas, harga hartanah serta purata pendapatan negara kasar (PNK) per kapita membabitkan negara-negara di seluruh dunia.
Dalam kajian tersebut, tempat pertama diduduki oleh Amerika Syarikat (AS) dengan skor 8.71, Kanada ditangga ke dua (7.32) manakala Australia ditangga ke tiga (7.23) dan disusuli Malaysia di kedudukan tangga ke empat seluruh dunia.
New Zealand dan Ireland masing-masing berada di tangga ke lima dan ke enam, manakala United Kingdom (UK) berada di tangga ke tujuh dan Argentina di tangga ke lapan bersama Belarus.
Tiga negara yang masing-masing berada di tangga ke 10 iaitu Belgium serta dua lagi negara Asia adalah Hong Kong dan Jepun, ketiga-tiga negara ini memperolehi skor 5.09 mata.
Utility Bidder dalam laman sesawang menyatakan bahawa kajian berkenaan telah mengambil senarai negara paling maju di dunia membabitkan sejumlah 66 negara. – KOSMO! ONLINE