fbpx

Kaut untung RM360,000 setahun, lelaki Myanmar ditahan jual dokumen palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ruslin menunjukkan antara barang rampasan pada sidang akhbar sindiket pemalsuan dokumen kad UNHCR di Jabatan Imigresen, Putrajaya, hari ini. - Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seorang lelaki warga Myanmar selepas kegiatannya menyediakan perkhidmatan penjualan dokumen palsu dengan mengaut keuntungan RM360,000 setahun terbongkar dalam satu serbuan di ibu negara baru-baru ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, suspek dikenali sebagai Ayake berusia lingkungan 30 tahun itu ditahan pada pukul 3.30 petang oleh sepasukan anggota daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM pada 13 Julai lepas di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

“Pasukan operasi telah berjaya menahan suspek ketika sedang dalam perjalanan untuk menyerahkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) kepada pelanggan di Dataran Merdeka.

“Suspek cuba melarikan diri apabila pasukan operasi menghampiri dan memperkenalkan diri menyebabkan berlaku adegan kejar-mengejar dan suspek berjaya ditangkap,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan Hari Bertemu Pelanggan JIM di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil penahanan suspek itu, pihaknya berjaya merampas dua pelekat PLKS, pasport Myanmar palsu (dua) dan wang tunai berjumlah RM26,000 yang diletakkan di dalam kenderaan jenis Honda C-RV.

“Pasukan operasi kemudiannya bergerak ke sebuah premis dipercayai rumah sewa suspek di Sentul, Kuala Lumpur. Hasil penggeledahan juga pihak kami berjaya merampas satu set peralatan komputer lengkap disyaki digunakan untuk pemalsuan dokumen.

“Selain itu, JIM turut merampas 26 keping kad palsu Suruhanjaya Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR), kad palsu Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) (dua), kad palsu PLKS (tiga), pasport Myanmar palsu (lapan), lesen memandu Myanmar palsu (satu) dan wang tunai berjumlah RM1,500,” ujarnya.

Katanya, modus operandi suspek adalah mengiklankan perkhidmatan melalui aplikasi Whatsapp dengan menyasarkan warga Myanmar dan Bangladesh di Lembah Klang sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Suspek bergerak secara bersendirian dan ianya menyukarkan pihak berkuasa untuk mengesan kegiatan haram yang dilakukan,” katanya.

Ujarnya, suspek mengenakan bayaran sekitar RM200 hingga RM1,000 bagi perkhidmatan memalsukan dokumen tersebut.

Ruslin berkata, suspek ditahan selama 14 hari bermula 14 Julai lepas dan disiasat dibawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/1963 dan Seksyen 12 (1) (f) Akta Pasport 1966. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI