REMBAU – Seorang wanita bukan sahaja sanggup mengorbankan masa depannya untuk menjaga ibunya yang terlantar sakit, malah turut membela tiga anak buahnya yang ditinggalkan ibu bapanya sejak 10 tahun lalu.
Nurfarrahazlin Mohd. Nor, 25, berkata, dia menjaga ibunya, Fadilah Latif, 62, yang menghidap penyakit angin ahmar selepas kematian bapanya, Mohd. Nor Yasin pada 2020.
Anak bongsu daripada enam beradik itu memberitahu, dia reda dengan takdir yang tertulis buat dirinya.
“Saya perlu membawa ibu untuk rawatan dialisis setiap minggu dan ia ditanggung oleh Baitulmal. Saya memang tak dapat bekerja kerana sibuk menjaga mereka.
“Tiga anak buah berusia 14 hingga 17 tahun menetap dengan saya selepas ditinggalkan bapa mereka iaitu abang saya sejak 14 tahun lalu. Ibu mereka juga tidak pernah menjenguk mereka,” katanya ketika ditemui sempena Program Jom Masuk Kampung di Kampung Chembong Halt di sini baru-baru ini.
Pada program berkenaan lebih 70 individu termasuk ADUN Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi Kemas, Zairuddin Mat Zuini serta ahli Gabungan
Basikal Tua Malaysia (GBTM) mengelilingi kampung bagi menyampaikan sumbangan kepada lima keluarga.
Menurut Nurfarrahazlin, anak buahnya turut membantu menjaga ibunya yang terlantar.
Tambahnya, dia bersyukur apabila ibunya terpilih untuk menerima bantuan memandangkan mereka bergantung sepenuhnya dengan pencen ilat arwah bapanya sebagai kerani sebuah syarikat akhbar selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Saya terharu ada orang ambil tahu mengenai keluarga saya dan dapat meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.
Sementara Zairuddin berkata, antara objektif program ini adalah untuk mengeratkan hubungan antara kerajaan, pemimpin dan masyarakat tempatan.
“Salah satu daripada pengisian dalam program ini adalah kakitangan Kemas termasuk saya sendiri berkayuh basikal tua mengelilingi kampung ke rumah penerima bantuan sebelum menyampaikan sumbangan barangan keperluan,” katanya.
Sementara itu, Wakil GBTM, Abd. Latip Alias berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan program seumpama itu.
“Pada program ini kami berkayuh lebih enam kilometer membabitkan lebih 70 peserta dari seluruh negara antaranya Johor, Perlis, Perak dan Pulau Pinang,” katanya.
Sumbangan boleh dihulurkan ke akaun BSN Nurfarrahazlin di nombor 0530041000037224.