PUTRAJAYA – Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM) menganggap Belanjawan 2021 baru-baru ini tidak memberi penumpuan secara jelas terhadap nasib kira-kira 600,000 pelajar yang menuntut di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
Presidennya, Amir Hamzah Md. Isa berkata, belanjawan itu juga tidak memberi tumpuan kepada survival usahawan pendidikan Bumiputera.
Beliau berkata, pihaknya mengesa kerajaan khususnya Kementerian Kewangan supaya mempertimbangkan empat langkah segera bagi membantu pelajar-pelajar IPTS yang terlibat.
“Pertama, kerajaan wajar memperluaskan Pakej Pelan Data dan Peranti kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kepada pelajar-pelajar di IPTS.
“Selain itu, dana khas RM50 sebulan perlu disediakan bagi pelajar daripada keluarga B40 selama 12 bulan bagi tujuan pembelian data telefon mudah alih untuk pembelajaran secara online,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Pada masa sama, Amir Hamzah berkata, kerajaan sewajarnya mengembalikan semula kadar asal pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar peringkat diploma iaitu RM4,000 untuk satu semester.
“Selain itu, PTPTN juga diminta menyegerakan insentif wang pendahuluan kepada pelajar IPTS yang ketika ini hanya dinikmati oleh pelajar di IPTA.
“Langkah ini juga secara langsung akan mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung keluarga lepasan SPM yang mendaftar di IPTS,” katanya.
Amir Hamzah berkata, kerajaan juga dimohon mengembalikan kemudahan pinjaman pelajaran MARA kepada pelajar yang mengikuti program-program kritikal peringkat diploma di IPTS Bumiputera ahli PKIBM.
Jelasnya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak Mac lalu memberi impak mendalam terhadap kelangsungan operasi IPTS Bumiputera.
“Penurunan mendadak jumlah kemasukan pelajar baharu sehingga 60 peratus berbanding tahun-tahun sebelum ini dan berdasarkan Belanjawan 2021, tiada langsung insentif khusus kepada IPTS Bumiputera.
“Sebagai usahawan pendidikan Bumiputera yang selama ini tidak bergantung kepada dana kerajaan sama ada modal pembangunan mahupun perbelanjaan mengurus, PKIBM menggesa kerajaan memberi keutamaan dan mempermudahkan IPTS Bumiputera untuk mendapat akses kepada beberapa inisiatif khas melibatkan dana Pemerkasaan Usahawan Bumiputera sebanyak RM4.6 bilion yang diumumkan,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan juga digesa melibatkan kesemua 46 buah IPTS PKIBM yang merupakan milikan penuh Bumiputera dalam pelaksanaaan inisiatif untuk menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada institusi Bumiputera seperti MARA dan UiTM bagi menjalankan program khusus termasuklah pendigitalan pembelajaran TVET melibatkan peruntukan sejumlah RM6.5 bilion.
“Selain itu, kita menggesa semua IPTS Bumiputera bertaraf kolej dan kolej universiti yang berkelayakan diberi peluang dalam pelaksanaan inisiatif program Kementerian Pengajian Tinggi persijilan profesional (KPT-PACE) melibatkan peruntukan RM150 juta,” katanya.
Katanya, bagi meningkatkan kapasiti internet dan komunikasi di kampus dan pusat pembelajaran, PKIBM turut memohon kerajaan menyediakan geran RM500,000 hingga RM1 juta bagi setiap IPTS Bumiputera. – K! ONLINE