JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan aksi sepasang suami isteri mencuri telefon bimbit di hadapan sebuah kedai sambil membawa anak kecil mereka, lapor program berita Liputan6 semalam.
Kejadian berlaku kelmarin di Kota Bekasi, wilayah Jawa Barat.
Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) lokasi kejadian memaparkan sepasang suami isteri yang menaiki motosikal tiba bersama anak kecil mereka sebelum si isteri masuk ke dalam kedai dan berpura-pura membeli sayur.
Keadaan kedai yang ramai pembeli memberi kelebihan untuk si isteri melakukan kegiatan haram tersebut.
Dia kemudian dilihat keluar dari kedai lalu mengambil telefon bimbit milik seorang individu yang diletak di dalam raga motosikal.
“Motosikal mangsa diparkir betul-betul di hadapan kedai. Mungkin dia terlupa dan meninggalkan telefon bimbitnya di dalam raga.
“Si pelaku yang berpura-pura membeli sayur kemudian mengambil kesempatan keadaan kedai yang ramai pelanggan untuk mencuri telefon bimbit,” kata pekerja kedai, Khairul Imam.
Sejurus selesai mencuri telefon, wanita berkenaan dengan pantas kembali ke arah motosikal di mana suami dan anaknya sedang menanti.
“Suami isteri itu membawa anak mereka membonceng motosikal tersebut (ketika mencuri),” kata Khairul.
Sementara itu, Ketua Perhubungan Awam Polis Metro Bekasi Kota, Komisioner Polis Erna Ruswing Andari berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa dan masih menyiasat kes tersebut. – Agensi