MANCHESTER – Penggempur sensasi Manchester United, Marcus Rashford semakin hampir untuk menandatangani perjanjian baharu bersama kelab itu sekali gus bakal menyaksikannya kekal untuk tempoh lima tahun lagi di Old Trafford.
Prestasi cemerlang yang dipamerkan musim lalu apabila meledak 30 gol dalam 56 perlawanan dalam semua kejohanan membuatkan Rashford yakin dengan rancangan United dan bersedia meneruskan komitmennya bersama pasukan itu.
Kontrak semasa pemain berusia 25 tahun itu bakal berakhir pada 2024 dan perjanjian baharu yang bakal ditandatangani menyaksikan dia akan kekal bersama pasukan itu sehingga 2028.
Laporan sebelum ini menyebut bahawa rundingan antara United dan Rashford sudah berjalan sejak beberapa bulan lalu dan dikatakan semakin menemui kata sepakat sekali gus menjadikan pemain itu penerima pendapatan paling tinggi di kelab berkenaan.
Rashford sebelum ini menerima pendapatan sebanyak £250,000 (RM1.48 juta), namun kontrak baharu menyaksikan dia bakal menerima pendapatan mingguan sebanyak £375,000 (RM2.23 juta).
Perjanjian itu nanti bakal menyaksikan Rashford menjadi pemain keempat menerima pendapatan paling tinggi dalam saingan Liga Perdana Inggeris selepas Erling Haaland, Kevin de Bruyne dan Mohamed Salah.
Haaland menerima gaji mingguan sebanyak £375,000 seminggu tidak termasuk bonus berkaitan, manakala De Bruyne dan Salah menerima gaji sebanyak £400,000 (RM2.37 juta) seminggu. – AGENSI