KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyangkal kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor yang mendakwa pendakwaan terhadapnya bagi menjejaskan peluang beliau dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ahmad Zahid berkata, pendakwaan tersebut dibuat selepas terdapat fakta kes yang kuat untuk mendakwanya di mahkamah.
“Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini bertitah bahawa isu berkaitan kenyataan oleh Muhammad Sanusi masih belum selesai.
“Mungkin itu sebabnya Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan pada beliau dan jika beliau dapati dirinya tidak bersalah, mahkamah adalah platform yang terbaik untuk menjawab segala tuduhan dan mempertahankan dirinya,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Hari Anugerah Pendidik MARA 2023 di sini hari ini.
Selain itu, ditanya mengenai pertikaian yang dibuat sesetengah pihak berhubung tindakan pihak berkuasa menahan Muhammad Sanusi pukul 3 pagi tadi, Ahmad Zahid berkata perkara itu merupakan hak agensi penguatkuasa.
“Itu hak agensi penguatkuasa untuk melakukannya, pukul berapa pun mereka mempunyai kuasa 24 jam untuk melakukan tindakan-tindakan penahanan,” katanya. – KOSMO! ONLINE