fbpx

Perlu wujud sektor penjagaan individu, kanak-kanak berkeperluan khas – Nancy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nancy ketika sesi libat urus dengan Pertubuhan Sukarela Kebajikan Orang Kurang Upaya di Kementerian Wanita, Putrajaya, hari ini. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/KOSMO!

PUTRAJAYA – Terdapat keperluan untuk negara mewujudkan sektor penjagaan dengan dilengkapi pekerja berkemahiran yang tidak hanya menumpukan golongan warga emas tetapi turut melibatkan penjagaan ke atas kanak-kanak dan individu berkeperluan khas.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sektor tersebut merupakan perkara baharu yang perlu diteroka dan diambil berat oleh kerajaan bagi melindungi golongan yang memerlukan.

Menurutnya, pada ketika ini program penjagaan bagi kanak-kanak dan individu berkeperluan khas hanya ditawarkan oleh sektor swasta.

“Dari segi penjagaan, ia bukan sahaja mengenai warga emas tetapi termasuk lah anak-anak berkeperluan khas kerana mereka ini ramai mengikut kategori. Jadi kami di kementerian merasa ia merupakan satu tanggungjawab besar buat mereka yang memerlukan dan keseluruhan pemerintahan negara juga perlu ambil berat.

“(Sebagai contoh), apabila ada ibu bapa yang meninggal dunia siapa yang akan jaga anak-anak berkeperluan khas ini seperti autistik?. Mereka ini mungkin akan terbiar dan merayau di jalanan kerana ahli keluarga (lain) sibuk, sebab itu kita memerlukan penjaga,” katanya menerusi sidang media selepas sesi libat urus KPWKM bersama Pertubuhan Sukarela Kebajikan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Orang Kurang Upaya (OKU) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, beliau juga telah memaklumkan secara tidak formal mengenai keperluan negara untuk mempunyai sektor penjagaan tersebut kepada Menteri Ekonomi dan Perdana Menteri.

Selain itu, beliau turut berpandangan bahawa terdapat keperluan untuk mewujudkan kursus diploma berkaitan penjagaan pada masa akan datang supaya terdapat lebih ramai individu terlatih dalam sektor berkenaan.

“Sebenarnya secara ‘informal’ saya dah maklumkan kepada Menteri Ekonomi dan Perdana Menteri, tetapi bukan sebagai satu kertas kerja (kerana) ia bukan dibawah kementerian kami.

“Namun saya berpandangan kita perlu wujudkan industri ini dengan lebih ramai individu dapat turut serta terutamanya golongan muda dengan menjadikannya sebagai program diploma, supaya mereka ini diberi kursus atau masukkannya dibawah program TVET menerusi KPWKM,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI