TAMPIN – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menyaksikan demonstrasi akhir Latihan Kuasa Tembakan (LKT) Tahun 2023 di Lapang Sasar Asahan, Kem Syed Sirajuddin Gemas, di sini, hari ini.
Turut berangkat, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Yang hadir sama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Pemangku Ketua Setiausaha, Kementerian Pertahanan, Datuk Dr. Shahrazat Ahmad dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Selesai pertunjukan latihan tersebut, Seri Paduka turut berkenan merasai sendiri pengalaman menembak senjata MK44 Bushmaster II 30mm dari kenderaan jenis 8×8 Gempita dan meriam 105mm LG1 MK III.
Terdahulu, Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman dalam ucapan aluannya berkata, latihan berkenaan adalah bukti bagi memastikan usaha berterusan membentuk pasukan tentera yang hebat dan berwibawa.
Menurutnya, Tentera Darat bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah menunjukkan keteguhan hati yang tidak berbelah bahagi dalam menjaga kedaulatan negara.
“Tanpa mengira cabaran yang dihadapi, kami tetap teguh dalam komitmen kami untuk melatih dan melengkapkan diri kami. Latihan senjata api berfungsi sebagai platform di mana sinergi kaedah mesin dan manusia diuji serta dilaksanakan dengan tahap profesionalisme dan dedikasi tertinggi.
“Matlamat pasukan tentera adalah untuk menjadi pasukan yang mempunyai kesediaan optimum, memastikan kemantapan organisasi dan keupayaan untuk memanfaatkan rangkaian penuh keupayaan dan kuasa tempurnya untuk mempertahankan kedaulatan dan melindungi kepentingan negara.
“Dalam konteks ini, latihan kuasa tembak direka bentuk untuk meningkatkan dengan cekap dan berkesan kemahiran berperang tentera kita. Ia menggambarkan senario taktikal yang melibatkan penempatan bahagian senjata gabungan dalam operasi serangan sebagai sebahagian daripada persediaan pasukan petugas bersama,” katanya lagi.
Seramai 2,660 pegawai dan anggota bersama 106 buah aset dan persenjataan melibatkan Kenderaan Perisai Pendekar PT-91M, AV8 Gempita, Lipan Bara, Adnan dan Malaysian Infantry Fighting Vehicle (MIFV) digunakan.
Aset persenjataan pula merangkumi persenjataan kecil hingga ke senjata berkaliber besar. Turut serta adalah pesawat Helicopter Super Lynx, AS555 Fennec serta MD530G dan Agusta bagi memberi tembakan bantuan dari udara semasa latihan berlangsung.
LKT 2023 telah bermula sejak 8 Julai lalu dan berakhir hari ini juga bertujuan mempamerkan keupayaan sesebuah combat team dalam ketumbukan combined arms, melalui maneuver dan kuasa tembakan secara segmen dinamik
Ia merangkumi senjata Bantuan Infantri, Mekanize, Armor, Artileri, Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) dan pesawat Udara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta TUDM dalam memperagakan keberkesanan sistem persenjataan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Selain itu, latihan ini turut menguji pengurusan pasukan, keupayaan anggota dan memperagakan kompetensi anggota yang terlibat dalam melaksanakan latihan tembakan peluru hidup.
Ia turut diadakan sebagai memberi pendedahan kepada para penuntut Kursus Pemerintah dan Staf Malaysia (Bersama) dari Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) yang telah dipertontonkan pada 15 Julai yang lalu. – KOSMO! ONLINE