JOHOR BAHRU – Hasrat seorang pemuda meminjam wang sebanyak $10,000 dolar Singapura (RM34,309) bagi tujuan perubatan ibu bapanya membawa padah apabila menjadi mangsa penipuan sindiket ah long yang menyamar sebagai perunding kewangan.
Mangsa, Raymond, 34, berkata, dia menemukan akaun perkhidmatan perunding kewangan itu dalam laman Facebook di Singapura pada 5 Julai lalu sebelum cuba mendapatkan nasihat berhubung hal kewangan.
“Sebenarnya saya bercadang meminjam wang sebanyak $10,000 dolar Singapura (RM34,309) untuk kegunaan keluarga termasuk tujuan perubatan ibu bapa.
“Saya mula mengisi butiran peribadi dalam satu pautan yang dikongsikan laman sosial berkenaan, sebelum dihubungi seorang individu yang memberitahu mereka sebenarnya peminjam wang tidak berlesen.
“Disebabkan itu, saya membatalkan hasrat membuat pinjaman tersebut, namun individu berkenaan tetap memaksa saya buat pinjaman, jadi saya buat jumlah paling rendah iaitu $450 dolar Singapura.
“Setelah menerima wang itu, individu terbabit meminta saya membuat bayaran sebanyak $800 dolar Singapura untuk menyelesaikan perkara itu, yang mana saya terus membayarkan pada hari sama,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan, di sini hari ini.
Tambah Raymond yang bekerja sebagai seorang juruteknik itu lagi, dia jangka perkara tersebut telah selesai namun individu itu kembali menghubunginya dan meminta wang dengan membuat ugutan.
“Kerana bimbang, saya buat lagi pembayaran sebanyak $5,700 dolar Singapura, untuk itu saya terpaksa pinjam wang rakan sebanyak $4,000 dolar Singapura.
“Namun selepas pembayaran dibuat, individu itu meminta saya bayar lagi $15,000 dolar Singapura, kerana saya tidak melayan tuntutan itu, mereka membaling cat di rumah rakan saya di Sri Stulang Jumaat lalu dan rumah saya di Permas Jaya, semalam,” ujarnya.
Tambahnya, disebabkan sedar dirinya akan terus diganggu, Raymond kemudian membuat dua laporan polis di Balai Polis Toa Payoh di Singapura pada 13 Julai.
“Saya kemudian turut membuat empat laporan polis di Balai Polis Seri Alam, Balai Polis Permas Jaya dan Balai Polis Taman Pelangi kerana bimbang dengan keselamatan diri.
“Saya menyesal kerana menekan pautan di Facebook dan menyeru orang lain agar tidak mudah tertipu dengan memberikan maklumat peribadi di laman sosial seperti saya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE