SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menzahirkan penghargaan kepada ahli-ahli Dewan Diraja Selangor yang bertindak membuat satu laporan polis berhubung isu menghina institusi Diraja Selangor.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani berkata, laporan dibuat pada 14 Julai lalu itu adalah susulan kenyataan dikeluarkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dalam satu ceramahnya.
Katanya, kenyataan itu dianggap menghina dan mempertikaikan kewibawaan institusi Diraja Selangor berhubung pemilihan jawatan Datuk Menteri Besar Selangor.
“Sultan Sharafuddin juga amat berbesar hati di atas sokongan yang ditunjukkan oleh ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor serta semua pihak yang berkaitan,” jelasnya dalam kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah, hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Ahli Dewan DiRaja Selangor menuntut Muhammad Sanusi segera membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung isu mengeluarkan kenyataan yang didakwa menghina Sultan Selangor.
Gesaan itu dibuat lima ahlinya iaitu, Tan Sri Ambrin Buang; Datuk Emran Kadir; Datuk Mohammad Adzib Mohd. Isa; Tan Sri Mohd. Zawawi Saleh dan Datuk Seri Mohammed Khusrin Munawi selepas tampil membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 6 di sini, kira-kira pukul 3 petang pada 14 Julai lalu.
Emran menegaskan, Sultan Selangor boleh melantik sesiapa sahaja menjadi Menteri Besar asalkan pemimpin itu mendapat majoriti tertinggi undi dan mengikuti Perlembagaan.
“Justeru itu, keputusan baginda adalah tepat dan tidak boleh dipersoalkan oleh beliau (Sanusi),” katanya. – KOSMO! ONLINE