fbpx

Malaysia sedia memanfaatkan pertumbuhan pasaran EV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Zafrul (lima dari kiri) pada Konvensyen Vendor dan Pelabur Global Proton di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Malaysia kini bersedia untuk memanfaatkan pertumbuhan pasaran kenderaan elektrik (EV) di Asia Pasifik yang diunjurkan bakal mencecah nilai 778 bilion dolar Amerika (AS$) (RM3.5 trilion) menjelang tahun 2027, antaranya menerusi pembangunan Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) di Tanjung Malim.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, angka tersebut mewakili kadar pertumbuhan tahunan terkompaun sebanyak 19.1 peratus, daripada anggaran nilai pasaran hampir AS$230 bilion (RM1 trilion) pada 2021.

Jelasnya, AHTV ialah satu-satunya kluster automotif di Malaysia akan diiktiraf secara rasmi sebagai hab kenderaan generasi baharu (NxGV) dan kenderaan cekap tenaga (EEV).

“Kerajaan menawarkan pakej insentif yang menarik, termasuk pengecualian cukai untuk pembangunan tanah, pembuatan bahagian dan komponen serta penubuhan pusat penyelidikan dan institusi pendidikan di sana.

“Kami melihat AHTV sebagai pemacu bagi pelabur automotif yang sedang mempertimbangkan untuk mengukuhkan rantaian bekalan serantau atau global mereka.

“AHTV juga merupakan pemain utama ke arah meningkatkan sumbangan sektor automotif kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara daripada RM64.5 bilion pada 2022 kepada RM104.2 bilion menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Konvensyen Vendor dan Pelabur Global Proton di sini, hari ini.

Konvensyen berkenaan menarik lebih 200 peserta yang terdiri daripada pegawai agensi kerajaan, wakil pengurusan dari DRB-HICOM, Geely, Proton, vendor tempatan dan vendor luar negara yang diwakili oleh 42 pembekal automotif dari China.

Pembangunan AHTV menyasarkan untuk menarik pelaburan kira-kira RM32 bilion.

Menurut Tengku Zafrul, meskipun Malaysia mungkin tidak menawarkan saiz pasaran yang sama seperti negara jiran, ramai pelabur luar menghargai nilai unik yang ditawarkan, antaranya lokasi strategik di tengah-tengah antara laluan perdagangan paling sibuk, selain ketersediaan bakat yang berkemahiran serta fasih berbahasa Inggeris

“Kedaulatan undang-undang Malaysia yang kukuh juga memberikan kepastian peraturan dan undang-undang untuk pelabur, selain penyediaan infrastruktur digital dan fizikal yang berkualiti,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI