AMPANG JAYA – Gara-gara kehadirannya tidak disenangi, seorang peniaga bukan sahaja diserang malah dipukul menggunakan gelas besi oleh suspek di sebuah medan selera, di sini, semalam.
Mangsa berusia 45 itu kemudiannya mengalami luka di pipi kiri sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Ampang.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 7 petang itu, suspek berusia 44 tahun menghampiri mangsa dalam keadaan marah.
Menurutnya, suspek kemudian tiba-tiba menyerang dan memukul mangsa di pipi kiri menggunakan gelas besi sehingga mengakibatkan cedera ringan.
“Kejadian itu kemudiannya dileraikan oleh beberapa individu yang berada di tempat tersebut.
“Punca kejadian adalah disebabkan suspek tidak menyenangi keberadaan mangsa di kawasan medan selera berkenaan serta tidak diendahkan oleh mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, Mohd. Azam berkata, kira-kira pukul 1.10 pagi tadi sepasukan polis membuat tangkapan terhadap suspek yang tidak bekerja itu di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya.
Katanya, polis turut merampas satu gelas besi yang digunakan oleh suspek untuk mencederakan pengadu.
“Semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau kesalahan jenayah dan kesalahan Akta Dadah Berbahaya.
“Perkara tersebut membuatkan suspek marah dan bertindak mencederakan pengadu. Suspek telah ditahan reman selama empat hari sehingga Khamis ini,” ujarnya.
Kes disiasat bawah Seksyen 324 Kanun keseksaan yang merujuk kepada sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata. – KOSMO! ONLINE