JAKARTA – Seorang lelaki tular selepas dirakam berenang dalam keadaan telanjang di sebuah kolam air pancut di Dataran Kajen, Jawa Tengah, lapor laman berita SindoNews.
Selepas menerima aduan orang ramai, Balai Polis Daerah Pekalongan segera menghantar anggotanya ke tempat kejadian. Mereka memeriksa lelaki tersebut serta mendapatkan penjelasan mengenai tindakannya.
Lelaki dikenali sebagai HS dan berusia 28 tahun itu mengaku bahawa tindakan yang dilakukannya pada Khamis lalu itu adalah kerana dia berhalusinasi akibat memakan buah kecubung.
Ketua Polis Daerah Pekalongan, Wahyu Rohadi berkata, HS memperoleh buah itu ketika keluar memancing pada hari sebelumnya.
Dalam perjalanan pulang, dia ternampak sebatang pokok kecubung di tepi jalan lalu buahnya dipetik dan dibawa pulang.
HS menyediakan hidangan buah kecubung dicampur sos secara rahsia kerana enggan diketahui orang lain.
“Akibat memakan buah itu, badan HS terasa panas dan tekaknya kering. Selepas itu, dia tidak sedarkan diri sebelum ditemui rakan-rakan di dalam kolam itu,”kata Wahyu. – Agensi