WASHINGTON – Seorang wanita di Amerika Syarikat (AS) menyerahkan wang tunai AS$80,000 (RM364,503) kepada kekasihnya sebelum menyedari bahawa lelaki tersebut adalah penipu, lapor portal berita LadBible.
Wanita yang hanya dikenali sebagai Terri itu berkata, dia mengenali Ricardo menerusi platform pesanan Facebook Messenger.
Lelaki itu memberitahu bahawa dia ialah seorang yang kaya-raya dan mencari kekasih untuk dijadikan tempat bermanja.
Ricardo juga memberitahu bahawa dia berasal dari Los Angeles, California dan bekerja di Montreal, Kanada, yang membuatkan mereka sukar untuk bertemu.
Selepas kedua-dua mereka meluahkan rasa cinta, Ricardo mula mengajak Terri untuk melabur dalam mata wang kripto Bitcoin sebanyak AS$10,000 (RM45,561) dan memberitahu wanita itu bahawa dia akan bergelar jutawan dalam masa enam bulan.
Sehingga satu masa apabila Terri telah menyerahkan wang berjumlah kira-kira AS$80,000 (RM364,503) kepada Ricardo, keluarga mangsa mula curiga dan meluahkan kebimbangan sekiranya lelaki itu seorang penipu.
Terri ketika ditemu ramah oleh program bual bicara di AS, Dr. Phil mengaku bahawa Ricardo sering memberi alasan setiap kali mereka merancang untuk keluar bertemu.
Ia menyebabkan saudara perempuannya, Tammy, membawa Terri ke rancangan tersebut meskipun dia masih percaya bahawa Ricardo adalah kekasihnya yang sebenar.
Kru produksi Dr. Phil kemudian menyiasat perkara tersebut dan hasilnya mendapati, Ricardo sebenarnya merupakan seroang lelaki bernama James yang tidak mengenali Terri.
Penipu tersebut dikatakan menggunakan gambar James dan mencuri identitinya untuk memperdaya Terri.
James juga mendakwa bahawa ia bukan kali pertama identitinya dicuri oleh individu lain yang menyamar kerana telah berdepan perkara serupa selama 10 tahun.
Meskipun kecewa ditipu, Terri menjelaskan bahawa dia menerima nasibnya dan tidak menyalahkan James atas perkara tersebut. – Agensi