fbpx

Kemalangan lori: Heret sekali majikan ke mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEMALANGAN yang mengorbankan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di Bandar Chaah, Segamat Sabtu lalu.

PETALING JAYA – Pakar kese­lamatan jalan raya berpanda­ngan pihak majikan perlu turut dipertanggungjawabkan sekira­nya kenderaan berat mereka terlibat kemalangan jalan raya.

Pakar Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Law Teik Hua berkata, kerajaan turut disaran menyemak semula undang-undang untuk memboleh­kan pemilik syarikat diheret ke mahkamah jika gagal menyediakan kenderaan yang selamat.

“Memang sepatutnya majikan ada tanggungjawab, tetapi adakah kita ada undang-undang tertentu untuk ambil terhadap majikan. Jika kita boleh buat undang-undang seperti itu ia sangat baik. Sekarang ini jika berlaku kemalangan, majikan cuma perlu kata yang bawa (memandu) pekerja, bukan saya. Undang-undang kita amat lemah untuk ambil tindakan terhadap majikan.

“Saya rasa adalah perlu kita dapat kawal pemandu kende­raan berat. Jangan semata-mata beri tanggungjawab itu kepada polis,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Teik Hua berkata, kenderaan berat jika terlibat kemalangan jalan raya berisiko menyebabkan kematian dan kecederaan antara­nya disebabkan faktor saiz.

Bagaimanapun, katanya, sesetengah syarikat atau majikan tidak kisah mengambil pemandu yang ada rekod buruk ekoran sukar mendapatkan pemandu memiliki lesen kenderaan berat.

Kata beliau, berbeza de­ngan pemandu kenderaan berat di Eropah, mereka merupakan golongan terlatih dan dianggap sebagai profesional.

“Majikan di Malaysia pula tidak ada langsung inisiatif untuk memberi latihan kepada pemandu-pemandu mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mempertikaikan bayaran berdasarkan trip kepada pemandu kenderaan berat yang disifatkan sebagai sesuatu yang buruk untuk keselamatan jalan raya.

Kosmo! semalam melaporkan, seorang bapa, A. Muniyandi, 47, menyangka isteri, M. Kaladevi, 43, dan anak, M. Eswaran, 10, akan lebih selamat sekiranya menaiki bas, namun anaknya itu maut selepas kenderaan itu dirempuh sebuah lori tangki di Kilometer 138.3, Jalan Johor Bahru-Seremban di Bandar Chaah, Segamat Sabtu lalu.

Ahli Tetap Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Selangor, Tengku Ahmad Marwan Tengku Mahmud pula berpandangan pemandu kenderaan berat yang harus dipertanggungjawabkan sepenuhnya jika mereka cuai.

Namun, katanya, majikan perlu turut dipertanggungjawabkan sekiranya pemandu dipaksa memandu walaupun menyedari kenderaan berat mereka tidak berada dalam keadaan baik.

“Sebagai contoh pemandu te­lah maklumkan majikan kende­raan tidak selamat digunakan, tetapi majikan tetap minta jalan. Jika berlaku kemalangan pemandu perlu buktikan perkara ini di mahkamah,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI