IPOH – Mayat mangsa tertimbus dalam kejadian runtuhan tanah di sebuah resort pelancongan terkenal di Tambun berjaya ditemui dalam keadaan bertindih pada pukul 9.55 pagi
Mangsa pertama yang dijumpai dikenali Ooi Chee Wei, 39, manakala wanita dipercayai pasangannya, Lee Tze Juin, 32, ditemui lima minit kemudian.
Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Goh Boon Keng berkata, kedua-dua mangsa ditemui pasukan mencari dan menyelamat di bahagian jakuzi villa berkenaan yang ditimpa runtuhan tanah.
Katanya, kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik di tempat kejadian.
“Pihak polis menerima panggilan berhubung kejadian tanah runtuh daripada pemilik resort tersebut pada pukul 2.15 pagi di mana dipercayai terdapat mangsa terperangkap di dalamnya.
“Operasi mencari dan menyelamat dilakukan serta-merta namun terpaksa dihentikan ekoran terdapat pergerakan tanah di lokasi kejadian sebelum disambung semula pada pukul 7 pagi ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Menurut beliau, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat. – K! ONLINE