fbpx

Dakwaan aktivis Myanmar, keluarga diculik di Ampang Jaya disiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Thuzar Maung (kanan) dan suami, Saw Than Tin Win serta tiga lagi anaknya didakwa diculik di Ampang Jaya, 4 Julai lalu.

PETALING JAYA – Polis sedang menyiasat laporan diterima berhubung seorang aktivis pelarian Myanmar dan keluarganya yang didakwa diculik beberapa lelaki tidak dikenali di rumah mereka di Ampang Jaya, pada 4 Julai lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata siasatan dibuka mengikut Kertas Enkuiri Polis (KEP) orang hilang.

“Saya sahkan menerima laporan polis yang dibuat berkaitan perkara tersebut. Siasatan dibuka mengikut KEP orang hilang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Terdahulu, media tempatan melaporkan kumpulan hak asasi, Human Rights Watch (HRW) mendakwa seorang aktivis pelarian Myanmar dan keluarganya diculik beberapa lelaki tidak dikenali di rumah mereka di Malaysia pada 4 Julai lalu.

Memetik laporan HRW, Thuzar Maung, 46, dan suaminya Saw Than Tin Win, 43, serta tiga anak mereka, Poeh Khing Maung, 16, Aung Myint Maung, 21, dan Thukha Maung, 17, diculik dari rumahnya di Ampang Jaya pada 4 Julai lalu.

Menurutnya, kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan keterangan saksi, sambil menambah Thuzar adalah penyokong lantang gerakan pro-demokrasi di Myanmar.

“Kami bimbang dengan keselamatan Thuzar dan keluarganya yang diculik dalam operasi terancang. Kerajaan Malaysia perlu bertindak segera mencari keluarga itu dan memastikan keselamatan mereka.

“Sebuah kereta memasuki komuniti berpagar mereka pada pukul 4.30 petang 4 Julai lalu dan memberitahu pengawal keselamatan mereka kononnya polis,” katanya.

Thuzar melarikan diri dari Myanmar pada 2015 sebelum beliau dan keluarganya diiktiraf Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebagai pelarian di Malaysia.

Sebelum ini, dia berkhidmat sebagai pengerusi Komuniti Pelarian Muslim Myanmar dan Jawatankuasa Pekerja Migran Myanmar dan telah bekerjasama rapat dengan Kerajaan Perpaduan Nasional pembangkang Myanmar.

Dia juga mempunyai lebih 93,000 pengikut di Facebook, di mana dia menyiarkan kritikan terhadap penyalahgunaan junta Myanmar, yang mengambil alih kuasa selepas rampasan kuasa tentera pada 1 Februari 2021. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI