PUTRAJAYA- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mengutip cukai berjumlah RM28.13 bilion setakat 17 julai 2023 iaitu 3.6 peratus lebih tinggi berbanding RM27.16 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, hasil kutipan lebih tinggi itu membolehkan kerajaan merencana pelbagai bantuan tambahan kepada rakyat.
“Dengan kutipan yang lebih tinggi, pelbagai bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya kepada media selepas merasmikan pelancaran Program Handholding ‘Indirect Tax & Voluntary Disclosure (VDP)’ di sini, hari ini.
Katanya, VDP ialah salah satu usaha kerajaan dalam melakukan pembaharuan percukaian bagi menggalakkan pembayar cukai tampil secara ikhlas dan melaporkan cukai sepatutnya untuk meningkatkan kutipan hasil bagi pembangunan negara.
“Program VDP 2.0 ini adalah kesinambungan kepada inisiatif terdahulu yang telah dilaksanakan mulai 1 Januari 2022 hingga 30 September 2022 dengan jayanya.
“Rekod menunjukkan bilangan permohonan yang telah menyertai VDP 1.0 ialah sebanyak 16,880 melibatkan kutipan hasil berjumlah RM700 juta,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE