fbpx

TVET mampu ubah sosioekonomi masyarakat Orang Asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sapiah (dua dari kanan) melihat hasil pakaian tradisional suku kaum Orang Asli selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Karnival Sukan Orang Asli Negeri Kelantan dan Terengganu di Dewan Datuk Ariffin Said, Ibu Pejabat Kesedar di Gua Musang. -Foto AIMUNI TUAN LAH/KOSMO!

GUA MUSANG – Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sentiasa memberi galakan kepada masyarakat Orang Asli untuk menyertai Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dilihat mampu mengubah taraf sosioekonomi golongan terbabit di negara ini.

Ketua Pengarah Jakoa, Sapiah Mohd. Nor berkata, TVET yang melibatkan pelbagai kemahiran itu dijangka mampu mengeluarkan masyarakat Orang Asli yang tinggal di pedalaman daripada garis kemiskinan.

Katanya, Jakoa sentiasa berusaha menangani masalah kemiskinan yang masih membelenggu 80 hingga 90 peratus masyarakat Orang Asli di negara ini.

“Jakoa akan membawa program TVET ke dalam kawasan Orang Asli. Pendedahan kemahiran itu bukan sahaja untuk pelajar, tetapi untuk semua masyarakat desa.

“Kursus yang dikenal pasti sesuai untuk masyarakat Orang Asli antaranya dandanan, gunting rambut, solekan, masakan, kemahiran membaiki motosikal, kenderaan dan elektrik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Karnival Sukan Orang Asli Negeri Kelantan dan Terengganu di Dewan Datuk Ariffin Said, Ibu Pejabat Kesedar di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jakoa Kelantan dan Terengganu, Roslina Bun.

Mengulas lanjut, Sapiah memberitahu, pihaknya yakin TVET akan memberi pendedahan dan peluang kerjaya sekali gua dapat diaplikasikan ke dalam kelompok masyarakat mereka sendiri.

Menurutnya, Jakoa yang merupakan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah mengambil pelbagai insentif dan program termasuk dengan menyusun program ekonomi yang lebih berkesan untuk membantu Orang Asli keluar daripada garis kemiskinan.

“Berdasarkan peruntukan yang diberikan, Jakoa telah membangunkan ekonomi 80 peratus masyarakat Orang Asli yang rata-ratanya berada di kawasan pedalaman melalui pelbagai program.

“Bukan sahaja program infrastruktur tetapi juga pembangunan jalan, rumah dan sektor ekonomi melalui bantuan pertanian, keusahawanan dan latihan sekali gus meningkatkan taraf pendapatan sedia ada,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI